"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Sunday, 17 May 2015

Aku, Pejuang Kiri. (6)

20 Tahun Mencari Tuhan: Kehidupan Kelima


Di sekolah rendah kebangsaan Cina yang bertapak di Sandakan, tempat aku belajar di awal tahun 2000, ada satu kelas pembelajaran agama Islam di salah satu blok dengan 4 tingkat yang dipenuhi bilik darjah. Di situlah tempat aku dan pelajar-pelajar Muslim lain pergi untuk mengenal agama asal kami apabila tibanya kelas Pendidikan Moral yang mana pelajar majoriti (non-Muslim) saja layak pelajarinya.

Tiga tahun aku belajar di sekolah itu, kelas agama jugalah tempat memorial aku apabila mengenali secara asas mengenai Islam selain mendapat ramai kawan-kawan semuslim.

Banyak memori aku peroleh sepanjang tempoh tiga tahun itu tapi aku cuma boleh gariskan satu cerita yang mengesan diriku ini sehingga sekarang.

Di hadapan tempat duduk belah kanan, tepi kanan papan hitam yang kami menghadap, ada rak buku yang diisi dengan buku cerita dan buku yang bertajuk Iqra (masa tu aku tak faham apa itu Iqra jadi aku masa tu anggap kata Iqra adalah tajuk lain bagi buku cerita). Tanpa buang masa, terus aku capai salah satu buku cerita.

Buku cerita yang bertemakan warna hijau pada muka depan buku ini amat pelik bagi aku. Buku ini mempunyai tulisan yang aku sendiri tak faham. Kalau tulisannya Bahasa Melayu aku fahamlah. Boleh aku tangkap apa cerita yang dikisahkan dari buku cerita tu. Malang tak berbau, buku dengan tulisan pelik aku dapat.

Aku belek setiap mukasurat demi mukasurat, sumpah aku pening kepala dengan tulisan pelik ini. Terus aku tanya salah satu kawan sekelas agama di sebelah kiri aku.

“Tulisan apa ni? Macam rambut kerinting tulisannya.” Soal aku.
“Tu tulisan Jawi.” Balas kawan aku.
“Oww… Tulisan Jawi. Tajuk apa dia tulis ni?” Aku tunjukkan tajuk muka depan yang bertuliskan tulisan Jawi itu.

Langsung dia ambil buku cerita itu dari aku dan dia cuba mengejanya.

“Sang Kancil dan Sang Buaya.” Jawab dia. Terus dia sambung katanya. “Kau cubalah baca.”

“Aku tak fahamlah dengan tulisan ni.” Jawab aku dengan yakin. Serius memang aku haram nak faham tulisan macam bergulung-gulung seperti rambut kerinting ini.

“Mari aku ajarkan.” Terus dia buka mukasurat pertama. Aku pergi dekat padanya dan tengok mukasurat tersebut. Dari situlah aku mulai mengenal tulisan Jawi dan cuba praktikkannya walaupun ketika itu masih gagap lagi menbacanya.

Aku tidak ingat siapa nama kawanku yang pertama kali mengajar aku pasal tulisan ini. Aku harap sekarang ini, kau masih hidup dan mampu menjalani kehidupan ini dengan baik, kawan.

Dari tahun 3, aku berpindah ke sekolah rendah Melayu mengikut keluarga di Kinabatangan. Di situ aku pernah semangat berkobar-kobar untuk memulakan kelas agama yang biasanya bermula selepas belajar di sekolah rendah. Tapi ibu aku melarang aku atas dasar aku masih budak baru di kampung asal keluargaku padahal dia cuma bimbangkan keselamatan aku yang sentiasa menjadi mangsa buli. Dia cuma benarkan aku mengaji Al-Quran di pondok hujung kawasan kampung kami.

Pernah ketika kelas agama Islam di sekolah baru aku, masa itu sesi membaca surah Al-Quran (aku tidak ingat surah pendek mana satu). Ustazah dengan lantang suaranya mengarahkan aku untuk membaca slaah satu ayat Al-Quran.

Seperti aku jangkakan, malang itu telah berlaku, aku gagap membaca salah satu ayat surah itu. Satu per satu aku membacanya. Kalau berterusan banyak masa terbuang dalam kelas agama ini.

“Ok berhenti. Lambat pula kau baca.” Kata ustazah.

Aku Terus hentikan bacaan gagap aku dan tunduk malu. Nasi sudah menjadi bubur. Walaupun telah banyak kali mengaji, masih gagap untuk membaca salah satu ayat surah yang diberikan.

“Aku kena buat sesuatu untuk lancarkan pembacaan aku.” Kata hati aku. Sebab hafalan surah amat penting untuk aku sebagai pelajar sekolah Melayu, aku kena buat sesuatu untuk lancarkan pembacaan surah aku.

Mula-mual minta kawan bacakan ayat surah terpilih dan aku tuliskan bunyinya dalam tulisan Rumi. Memang Nampak ‘gah’ bunyinya tapi itu saja cara cepat aku untuk menghafalnya. Selain itu mengeja mana-mana ayat dalam buku Iqra pun aku praktikkan juga, minta ustazah mengaji dengar mana-mana kesalahan bacaan aku.

Peristiwa itulah aku mengenal Al-Quran dan ayat-ayat bacaannya sekali. Perkara ini membuatkan aku berfikir sejenak di kala dewasa ini. Apakah seorang Muslim mesti dikaitkan dengan tulisan Jawi dan bahasa Arab yang menjadi bahasa utama dalam pembacaan Al-Quran ini?

Ya. Tulisan Jawi memang sebahagian dari pembelajaran bahasa Arab dan tulisan rumi agar kita dapat menghafal setiap huruf-hurufnya. Bahasa Arab pula wajib dipraktikkan dan difahami kerana bahasa Arablah bahasa yang digunakan dalam penulisan ayat-ayat Al-Quran di Tanah Arab ketika Rasulullah SAW masih giat berdakwah.

Ciri terpenting bagi seorang Muslim adalah mempunyai kemahiran berbahasa Arab selain pakar dalam bahasa ibunda atau bahasa asal leturunan mereka. Jika pakar berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris, wajib menjadi pakar berbahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa penyampaian dalam ajaran Islam. Tidak apa kita gagal berkomunikasi sesama manusia, janji ajaran Islam difahami dengan jelas jika memahami mana-mana kata bahasa Arab yang sinonim.

Mesti fahami bahasa Arab supaya ajaran Islam dapat difahami dengan jelas. Al-Quran mesti menjadi kitab yang sinonim dalam kehidupan seorang Muslim. Kata bahasa Arab dalam pembelajaran Islam mesti dipraktikkan dan difahami sempurna. Solat juga perlu berbahasa Arab untuk sempurnakan sembahan jadi mesti lali dengan pertuturan bahasa Arab dalam ajaran Islam. Sedangkan Nabi sendiri yang buta huruf pun boleh menyebut ‘Iqra’, apatah lagi kita yang sempurna hidup sebagai Muslim? Mampu bertutur bahasa Arab?

Jangan mengaku Muslim kalau maksud ISLAM pun kau tidak mengerti.

Aku tidak tahu apakah status sebenar kelas agama di sekolah rendah kebangsaan Cina itu setelah 15 tahun meninggalkannya. Harap ia masih wujud dan Pendidikan Islam menjadi subjek penting dalam pembelajaran kelas.


Alhamdulillah. Sekarang aku mampu membaca tulisan Jawi dan Al-Quran serta menghafalnya tanpa merumikannya lagi. Harap aku terus praktikkannya sampai terpisah roh dan badan hasil tugasan Malaikat Maut.

Tuesday, 24 March 2015

Aku, Pejuang Kiri. (5)

20 Tahun Mencari Tuhan: Kehidupan Keempat


Sebelum masjid yang pernah menjadi tempat aku menghadap tuhanku, tokong adalah tempat beribadah pertamaku.

Di sekolah rendah kebangsaan Cina yang berada di Sandakan, di mana disitulah aku mengenal erti belajar. Ada tokong yang besar dan serba indah berhampiran dewan besar. Waktu pulang dari sekolah adalah waktu terbaik bagi pelajar-pelajar sekolah melepak hanya menunggu bas sekolah yang bercat oren dengan berjalur hitam.
                                          
Sedang asyik bermain dalam dewan besar yang sentiasa terbuka (situasi di sana memang bising dan penuh dengan budak sekolah rendah, pengawal keselamatan pun tiada yang guard di dewan), seorang kawan sebas sekolah mengajak. Ayatnya aku pergi bahasa Melayu-lah sebab perbualan ini menggunakan bahasa Mandarin.

“Jom kita main di sana.”
“Mana?”
“Dalam tokong tu.”
“Nanti kena marahlah oleh penjaga tokong tu.”
“Diorang tak marah punya. Jom!”

Apa lagi, tanpa fikir panjang kami berlari terus ke tokong dan main kejar-kejar. Dari situlah setiap hari selepas pergi sekolah, aku dan kawan sebas menjadikan tokong tu seperti kawasan permainan kami. Para penjaga tokong itu memang sporting, malah kehadiran kami membuat mereka terukir senyuman. Tapi kawasan dalaman tokong kami tidak benar memasukinya, atas arahan mereka. Asap colok memang merebak meluas dan baunya memang menusuk hidung kalau siapa siapa yang pertama kali masuk tokong. Tapi kami tidak peduli semua itu sebab dah banyak kali masuk tokong, jadi suasana sebegitu tiada masalah bagi kami.

Suatu hari, aku tidak ingat berapa hari bulan sebab memang kisah lalu tanpa catatan, biasanya kami bermain di luar tokong saja. Leka main kejar-kejar, larianku terpesong ke kawasan dalaman tokong. Mulanya ringan-ringan saja, main dari luar kawasan hingga kawasan tangga batu tokong yang serba putih dengan ukiran yang unik. Tapi tanpa sedar aku termasuk ke dalam kawasan dalamannya. Kawan-kawan aku pun sama tapi mereka tidak hiraukan, terus bermain dan berlari kawasan dalaman tokong. Aku pula, terpaku sebentar.

Sebuah patung yang besar, dengan kepala yang besar, bermata sepet, cuping telinga panjang dan badannya bersalut tembaga. Betul-betul di hadapan aku. Di sekelilingnya terdapat hiasan-hiasan untuk upacara sembahyang dan tengah-tengah patung tembaga itu terdapat bekas dengan cucukan-cucukan colok yang terpadam dan bernyawa lagi dengan sebaran asap. Ditambah lagi dengan kehadiran para sami yang sedang melakukan aktiviti pembersihan.

Aku pada ketika itu terpegun, teruja dan merasa selesa bila berada dalam tokong serba mereah bersebelahan sekolah lama aku. pertama kali aku masuk, aku merasa nyaman merasai suasana dalaman tokong itu. Memang nyaman. Seperti aku adalah penyembah patung yang suci. Aku tidak tahu apa yang merasuk aku sehingga aku dibuai kenyamanan pabila menghadap patung yang paling besar pertama kali aku nampak.

“Boboy! Kau mahu main lagikah?”
“Lebih baik kita keluar dari sini. Kena marah kita nanti.”

Suara kawan sekolah melarikan fokus aku terhadap patung sembahan dan suasa sekelilingnya.

“Aku main lagilah!” Terus aku berlari menuju mereka yang menunggu di tepi tangga batu.

Kalau kamu semua tanya aku, pernahkah aku pergi masjid ketika aku berada zaman budak-budak, jujur aku cakap, bukan masjid petama kali aku singgah, tokonglah rumah ibadah pertama aku singgah. Pertama kali aku memasuki masjid ketika aku berada dalam darjah lima di sekolah Melayu di Kinabatangan.

Walaupun itulah peristiwa pertama dan terakhir aku menjenguk tokong, namun tokong itulah mampu mendamaikan jiwa diri aku sendiri buat pertama kalinya. Sebenarnya, mana-mana rumah ibadah, kalau isi dalaman rumah ibadah itu penuh dengan aktiviti-aktiviti keagamaan kuat menyembah Tuhan, dengan sangat menjaga kebersihan dengan cemerlang, tak mustahil banyak aura-aura positif mengalir setiap penjuru rumah ibadah sehingga mampu mendamaikan mana-mana jiwa yang mencari perasaan bertuhan.

Namun, sesuci-sucinya rumah ibadah mana-mana agama, suasana damainya tidak melawan suasana damai Mekah. Pusat kiblat dalam peribadahan muslim sedunia. Aura-aura positif di Tanah Suci itu terutamanya Mekah sangat kuat sehingga mampu menjadi sumber tenaga kebatinan para penghuni dan Jemaah-jemaah luar untuk aktif melakukan ibadah semata-mata mahu menemui Tuhan secara dekat. Bukan itu saja kelebihan Mekah yang sedang penghuninya gempar-gempurkan, ada lagi keistimewaan lain yang menjadikan Mekah adalah pusat penting bagi pengumpulan mana-mana Jemaah muslim beribadah sedunia.


Aku harap, sebelum Malaikat Maut mencari aku untuk senarai maut seterusnya, mampu menunaikan hasrat beribadah kepada Tuhan di Mekah. Walaupun aku bakal mati, usaha aku tetap tidak disia-siakan.

Saturday, 28 February 2015

Aku, Pejuang Kiri. (4)

20 Tahun Mencari Tuhan: Kehidupan Ketiga



Ibu aku sibuk, sebagai penjaga kedai fotografi. Bapa kandung aku, seorang Cina muallaf, sibuk dengan urusan wiring-nya. Aku dan adik perempuan aku, dijaga oleh atuk nenekku sebelah bapa kandung aku.

Hidup aku di sana macam budak-budak cina lain. Memakai seluar pendek, baju pendek, bersinglet, dan bermain dengan budak-budak cina. Tiada main congkak. Tiada main permainan getah. Tiada main guli. Paling femes kumpul stiker kartun dan main permainan kad kartun. Permainan femes dalam kalangan budak-budak cina ketika itu.

Pergi sekolah rendah cina waktu pagi. Sampai tengah hari balik dari sekolah naik van sekolah yang mana dipenuhi oleh budak-budak dari sekolah cina. Malamnya ada tuisyen. Tuisyen yang dikendalikan guru sukarela yang tegas. Walaupun macam sengsara waktu aku sekolah, dalam kepala aku cuma tahu main. Main, main, main. Biasalah, masih dalam keadaan suci lagi dalam pemikiran budak berusia 7 tahun.

Tinggal di rumah nenek dan atuk cinaku yang aku gelar Popo (nenek) dan Kongkong (atuk), aku digelar oleh keluarga belah bapa kandung aku sebagai Gogo, bermaksud abang. Mungkin aku berada status anak pertama lelaki. Yelah, orang Cina ni bahagia gila kalau mendapat anak sulung lelaki dalam satu keluarga. Sebab gelaran Gogo membawa ‘ong’ dari mereka, mereka rela menyebut gelaran itu kepadaku.

Yang paling memorial semasa berada di rumah keluarga cinaku, pabila meraihkan Tahun Baru Cina. Segala tradisi Cina dilontarkan ke dalam hari yang penuh kebahagiaan dan kekayaan ini. Dengan hiasan rumah serba merah. Dengan segala tulisan cina ditampal ke dinding dengan ayat kaligrafi berbunyi ‘Selamat Tahun Baru Cina’ sebagai hiasan kemeriahan. Tidak lupa juga kawasan perumahan keluarga cinaku disambut dengan tarian-tarian singa yang memukaukan bagi kami ini, kanak-kanak cina. Sememangnya hari paling memorial ketika itu.

Apa yang paling aku tidak lupakan, peristiwa yang membuat aku kaku sebentar di hari penuh kekayaan itu, adalah aku dan adik perempuan aku disuruh Popo dan Kongkong menyembah dewa-dewi. Mereka memanggil kami berdua dan menghadapkan posisi hadapan kami ke arah pondok merah kecil yang melekat pada dinding rumah di mana kami tidak mampu mencapainya. Dalamnya terdapat patung wanita berjubah putih dan sekelilingnya terdapat hidangan buah oren kebiasaannya, juga terdapat tempat menyucuk colokn yang masih membara.

Dan kami berdua diberi colok panjang yang baru membara oleh kedua orang nenek atuk kami. Dan kami disuruh tunduk kepala sebanyak tiga kali sambil pegang colok membara itu menghadap patung serba putih itu. Apa yang kami berdua melakukan tadi adalah ritual penyembahan dewa-dewi sempena hari kebahagiaan dan kekayaan ini untuk menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan senantiasa.

Aku fikir. Memikirkan penyembahan dewa-dewi itu. Itulah kali pertama aku menyembah sesuatu yang lebih berkuasa. Yang mampu menentukan atur langkah kehidupan manusia sehingga manusia itu dijemput malaikat kematian. Tetapi sesuatu yang aku sembah adalah patung yang dianggap sebagai dewa-dewi, dimana keadaannya akan musnah berkecai jika tidak dijaga sepenuhnya. Bukan sesuatu yang tidak nampak dek mata telanjang kita. Sejak penyembahan pertama itu, aku ketika itu mempedulikan saja. Yang penting aku layan hidup bahagiaku.

Ramai antara budak-budak ketika mampu menginjak tanah, mampu menggerakkan mulut, mampu memberi reaksi apa yang berlaku disekeliling, kebiasaannya ibubapa yang pro-Islam akan mengajar anaknya untuk membaca jawi, membaca ayat-ayat pendek dari Kalam Allah, sebagai ajaran Islam pertama. Kemudian pabila menginjak ke sekolah rendah, mulalah ibubapa membawa anaknya belajar di sekolah agama yang mengajarkan Islam secara terperinci di waktu petangnya. Merangkumi siapakah Tuhan dan pengutusNya, mengamal 5 rukun Islam dan 6 rukun iman. Pembelajaran yang asas dalam mengenal Islam.

Tapi tidak semua budak-budak bertuah mengenal Islam. Ada yang dari awal tidak diajar Islam sepenuhnya. Hanya diajar apakah Islam dimata ibu dan bapa. Tidak dibawa ke sekolah agama sebab kesibukkan ibubapa itu sendiri. Paling teruk sampai menyembah tuhan lain selain tuhan dalam ajaran Islam. Macam aku, awal-awal lagi disuruh menyembah dewa-dewi pagan masyarakat Cina. Selepas itu aku terus didedahkan akan kepaganan masyarakat Cina.


Beruntunglah kamu semua yang sudah mengenal tuhan bernama Allah dalam ajaran Islammu yang kamu percaya, yang asli sejak kelahiranmu. Bukan macam aku ini, awal-awal percaya pada dewa-dewi yang kononnya maha agung. Awal-awal sesat. Sesat mencari Tuhan yang sebenar.

Tuesday, 6 January 2015

Aku, Pejuang Kiri. (3)

20 Tahun Mencari Tuhan: Kehidupan Kedua


Kaki.
Aku sebenarnya ada masalah dengan kaki aku sendiri. Masalah apa? Tunggu aku habis cerita dulu sebelum kau predik macam-macam.

Tiada sejarah penyakit kronik pun pada kaki aku ni. Yang paling teruk pun kena kudis air, silahau (seliuh) dan jari ibu ditusuk oleh serpihan tajam konkrit. Gila juga aku menghadap kesengsaraan kaki aku. Sampaikan aku mahu ‘tinggalkan’ terus kaki aku. Tapi aku hadap juga. Sebab aku tidak mahu meninggalkan ‘benda’ yang menguntungkan aku.

Tepikan soal kesengsaraan kaki aku. Bukan itu masalahnya. Aku tak suruh kau semua ‘jilat’ kaki aku. Aku cuma bagitau masalah kaki aku. Sehingga masalah ini betul-betul aku bersyukur sangat. Bersama kakiku yang ‘nakal’ ini.

Sebenarnya (tarik nafas panjang-panjang),

Dari aku berumur 2 tahun pun masalah ini berlaku. Kaki aku gatal mahu jalan. Aku masa tu sikap menjelajah aku tinggi. Di mana aku mahu pergi, kakiku otomatik ikut nafsu jelajah aku.

Sampai aku sakit pun kaki aku gatal mahu jalan. Satu hospital aku jelajah. Sampai pergi ke jalan raya yang sesak. Masa tu aku ikut nafsu jelajah aku ja. Tak peduli di sekeliling aku. Mahu pergi mana, terus jalan. Nasib baik masa tu ada seseorang selamatkan aku dari jalan raya tu. Nasib baik la tu. Kalau tidak masih budak-budak sudah jadi arwah.

“Cuba kau duduk diam-diam! Berjalan saja kerjamu!”

Sampai ibu aku bising. Melayan aku yang kuat berjalan. ‘Nostalgia’ masa tu.

Itu masalahnya. Aku tak salahkan kaki aku sebab kaki aku ikut ja apa aku mahu buat. Macam raja dan rakyatlah. Macam tu la analoginya.

Sebenarnya yang menggerakkan kaki aku adalah sikap menjelajah aku. Aku dari awal kehidupan sudah diselitkan sikap macam tu dalam diri aku. Aku tidak tahu masa tu kenapa sikap macam ni wujud dalam diri aku. Tapi syok la. Makin aku layan makin aku ketagih. Mahu berjalan terus dengan kaki aku. Tempat mana aku tak pernah nampak, aku pergi.

Sampai sekarang sifat menjelajah ini tidak pandai hilang. Makin membesar sikap ini juga makin ‘membesar’. Sampai aku bercita-cita mahu menjelajah satu dunia. Nampak bangang la tapi impian ini mampu membuatkan aku makin bernafsu melayan sikap menjelajah aku ini. Macam pil kuda. Pergh…

Aku tidak tahu dari mana datangnya sikap ini tapi apa yang menghairankan aku makin aku layan sikap ini makin aku berkobar-kobar mencari Tuhan. Aku tengok sekeliling. Persekitaran yang bercampur-baur. Makin aku kuat melangkah, makin aku kuat berfikir. Pasal alam aku berpijak ini.


Sehingga aku berfikir,

“Apakah fungsi aku di dunia ini?”

Soalan ini aku sukar mahu jawab. Mahu minta kepada alam sekeliling, ‘diorang’ mana mahu jawab. Aku susah mahu menanya soalan ini kepada siapa-siapa. Sebab soalan yang aku timbulkan, seperti khas untuk aku saja. Entah mengapa, tapi soalan ini memang khas untuk aku saja.

Dari situ aku tahu apakah fungsi sebenar sifat menjelajah ini wujud. Semua manusia pun rasa begitu. Fungsinya adalah alat utama dalam usaha kita dalam mencari Tuhan. Kau mempunyai rasa bertuhan, tapi kau susah untuk merasai bagaimana mahu rasa bertuhan itu. Mahu mencari feel sebenar dalam merasai eksistensinya Tuhan, kau berjalan sejauh mungkin. Jauh sejauh jauhnya. Sampai kau hilang nyawapun kau teruskan saja. Dan kau akan tahu, setiap perjalanan kau, lama kelamaan kau dapat menemui, rasa bertuhan, sekaligus otomatik kau menemui Tuhanmu.

Sikap menjelajah,
Atau nama cantiknya sikap inkuiri,
Adalah ‘alat’ Tuhan berikan,
Untuk manusia dalam usaha,
Mencari Tuhan.

Itu sebab Tuhan bagitau,

Mahu mencari Aku, kau berusaha mencari Aku. Walaupun Aku dekat sedekat dekatnya, tapi kau tetap menjauh, dan alpa. Lebih baik kau mendekat kalau mahu dekat padaKu. Menggunakan sikap inkuirimu, mencari Aku.


Tuhan sudah bagi hint. Cuma kau perlu gunakan sebaik-baiknya dan berusaha terus sampai tercapai niatmu. Mencari Tuhan.

Friday, 12 December 2014

Aku, Pejuang Kiri. (2)

20 Tahun Mencari Tuhan: Kehidupan Pertama


Ada memori ini, menghantui fikiran kepala otak aku.

Ia muncul ketika di awal kehidupanku, di mana kelima-lima deria asas aku mula berfungsi, di mana sel-sel otak berhubung (ayat dari iklan susu). Memori ini aku tidak tahu ia wujud dalam mimpi atau tidak. Tapi memori ini jelas dalam kepala otak aku sampai aku injak dewasa.

Memori ini berlatarkan warna merah ros. Macam ruang ditutupi oleh dinding bersumberkan daging yang berurat. Dalam ruang itu ada sosok tubuh seorang lelaki. Memakai lab coat putih. Bukannya jubah putih macam dikhayalkan oleh pentaksub-pentaksub agamawan buyers.

Muka sosok tubuh itu tidak jelas kelihatan. Bayangan mukanya seperti muka aku (aku yang dewasalah. Bukan muka babyface aku). Tapi aku menegaskan itu bukan aku.

Dia memanggil aku dari jauh. Aku mahu pergi kepadanya. Lelaki misteri yang berupaya menarik naluri aku. Aku mahu pergi menyambut panggilannya tetapi aku makin jauh kepadanya. Makin jauh makin jauh sampai lelaki itu hilang dari ruang merah ros. Lagi pelik dia langsung tidak menyatakan apa-apa. Pelik.

Aku tahu apa aku cerita ini mengarut gila. Layak masuk dalam kisah dongeng rakyat. Tapi memori ini sampai sekarang tidak hilang macam mimpi-mimpi lain. Aku makin sakit apakah sebenarnya memori ini.

Aku cuma percaya memori ini adalah fasa pertama pembentukkan pemikiran aku di awal kehidupan aku. Ayat ini cukup aku menamatkan kekusutan melampau aku pasal memori yang menghantui aku ini. Cuma mengkonklusikan misteri memori ‘indah’ ini.

Aku fikir, kalau memori ini sememangnya dari Tuhan, apa Dia mahu tunjukkan sebenarnya? Adakah sosok tubuh itu malaikatNya? Mengajak aku bersama malaikat itu? Apa yang Engkau mahu tunjukkan sebenarnya dari hamba hinaMu ini?

Aku pelik akan petunjukNya. Seperti mencari satu bahagian kepada bahagian lain untuk melengkapkan gambaran kehidupan dunia aku yang sementara ini. Dia membuat kita ini berfikir pasal petunjuk anehNya. Tidak sama seperti Dia memberikan petunjuk kepada kekasihNya.

Walaupun aku merasa pelik akan petunjukNya, tetap aku berfikir itu adalah hint untuk aku mencari Tuhanku, seperti memori pertamaku ini. Bukan saja aku percaya memori ini adalah fasa pertama perkembangan otak aku, malah ia adalah hint pertama dalam mencari rasa, ingin bertuhan.

Saturday, 6 December 2014

Aku, Pejuang Kiri. (1)

20 Tahun Mencari Tuhan: Prolog

Sekarang menghadap laptop. Waktu dinihari melayan lagu Rock Balada. Misteri Mimpi Syakila nama lagu tu.

Sudah 21 tahun umur aku merangkak. Memperlahankan diriku untuk kuat menaip. Untuk memulakan langkah sebagai full-time writer. Aku tidak terfikir mahu melakukannya. Ia bertentangan dengan cita-cita yang aku agungkan, sebagai pengkaji bintang.

Tapi entah, kelebihan menulisku aku utamakan lebih dari cita-citaku. Ketagihan melanda pabila aku makin meneruskan taipan. Sambil berpulas idea, sambil aku meneruskan taipan. Mungkinkah aku ditakdirkan sebagai penulis? Atau bukan? Atau tercapai cita-citaku? Dia lebih tahu. Sebab aku bukan peramal masa depan. Bukan sama sekali.

Terlalu banyak peristiwa-peristiwa yang manusia lalui untuk menemui Tuhannya. Biarpun walau dia pernah menjahanamkan hidupnya atau pernah sesat dahulu semata-mata mencari Tuhan yang salah.

Mencari Tuhan yang ‘sah’ bukanlah semata kau memetik buah yang ranum yang tergantung di pokok. Ia diumpamakan mencari manik yang tersembunyi di sepanjang pantai berpasir. Makin gila kau mencari, makin kau bernafsu untuk mencari Tuhanmu. Itulah feel kau. Itulah sifat azalimu. Perasaan bertuhan. Perasaan semula jadi di mana Tuhan memberikanmu untuk kau merasa esistensinya Tuhan.

Seluruh manusia tidak mungkin asalnya sudah dapat mencari Tuhannya. Walaupun roh kau mengakui esistensinya Tuhan Maha Satu, tapi di dunia yang penuh kenafsuan, penuh kenikmatan, membuat kau makin lalai berada di jalan Tuhanmu. Dari kau kecil, tanpa bimbingan keselamatan dari sesiapa yang membantu kau mencari Tuhanmu, ibu bapalah pasangan manusia yang mencorakkanmu, sama ada kau masih ada peluang mencari Tuhanmu atau kau terbabas dari mencari Tuhanmu.

Bukan perkara pelik kalau kau sesat dan kemudian berusaha mencari Tuhanmu yang kau tinggalkan. Berjuta-juta manusia ciptaan Tuhan juga dalam proses mencari Tuhan. Kau tidak bersendirian dalam mencari Tuhanmu. Mereka ada juga bersamamu.

Walaupun kau menemui Tuhanmu, kau sudah kuat dari keberhasilan menjumpai Tuhanmu, kau tetap merasa lemah. Lemah entah di mana sumbernya. Kau tetap merasa lemah. Kerana lemah itu adalah simbolik ketaatanmu terhadap Tuhanmu. Sebab kau adalah manusia. Itu saja.

Dan aku menemui Tuhan kita. Selama 20 tahun lamanya.


Friday, 7 November 2014

Orang Sungai: Sahabat Buaya

Biasanya aku selalu lepak sakan tempat-tempat yang penuh dengan buku bila masa kosong. Perpustakaan, jualan buku tepi jalan dan kedai buku menjadi tempat strategik aku 'mencuci mata'. Macam 'usha' awek~ Tapi aku 'usha' buku dan kucing ja. Hobi aku.

Banyak juga aku perhatikan buku-buku keluaran para penulis yang amat pakar dalam penulisan, sama ada melalui kajian atau pengalaman. Dua faktor inilah menjadi asas bagi mencari idea bila membuat penulisan. Asalkan para pembaca dapat mengerti apa sang penulis sampaikan. Kira cukup sudah ilmu dikongsi bersama.

Buku-buku pernah aku tinjau adalah buku kajian mengenai suku kaum. Terlalu banyak kajian mengenai suku kaum di Asia melalui pemerhatian aku. Di Asia Tenggara, banyak suku kaum di Malaysia dikaji oleh pengkaji sejarah. Yang paling popular adalah suku kaum Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Contohnya kaum Kadazan Dusun, segala latar belakang kehidupan kaum ini banyak pengkaji bongkarkan melalui penulisan jurnal. Sekarang inipun pengkaji bahasa pula cuba mengkaji kepelbagaian dialek kaum Kadazan Dusun. Apa yang dapat simpulkan, taburan bangsa-bangsa di Asia terlalu banyak menyebabkan para pengkaji beria-ia membongkar kehidupan sebenar kaum-kaum yang jarang didengari.

Artikel kali ini adalah mengenai bangsa yang jarang didengari (selain orang Sabah sendiri) yang menduduki Sungai Kinabatangan, Orang Sungai. Orang Sungai adalah kaum asli yang menetap di daerah Kinabatangan, Beluran, dan Kota Marudu. Selain itu, orang Sungai juga terdapat di Ranau, Lahad Datu, dan Sandakan. Bangsa ini digolongkan ke dalam bangsa Kadazan Dusun kerana berkongsi adat resam dan bahasa yang hampir sama. Orang Sungai juga adalah suku kaum terbesar di Pantai Timur Sabah. Ramai umumnya tidak mengetahui kewujudan Orang Sungai ini sebab tiada apa-apa maklumat atau pendedahan di media massa.

Orang Sungai juga mempunyai pecahan-pecahan suku tersendiri kerana dialek bahasa yang berbeza. Contohnya Orang Sungai di Beluran dan di Kinabatangan. Biarpun mereka adalah kaum yang sama, dialek yang dipengaruhi oleh bangsa lain dan keadaan geografi yang berbeza menyebabkan dialek bahasa mereka berbeza. Agama yang paling ramai dianuti adalah Islam. Sebahagian dari mereka adalah menganut Kristian dan animisme.

Pakaian Tradisional Orang Sungai hampir sama dengan pakaian tradisional Kadazan Dusun tetapi sepanjang aku berada di Bukit Garam, yang majoriti adalah Orang Sungai Kinabatangan, tidak satu pun mereka ada pakaian tradisional. Mungkin disebabkan mereka terikut dengan aliran zaman kemodenan, pakaian tersebut mungkin tidak kelihatan lagi di Bukit Garam.

Makanan tradisi Orang Sungai yang popular dalam kalangan mereka apabila musim buah adalah durian merah. Durian merah adalah durian di mana ia berbuah kecil, warna kuning keemasan dan isinya berwarna merah. Isinya sesuai dijadikan lauk bersama nasi putih dan juga sambal. Pernah aku merasanya (sebab aku sendiri ada campuran Orang Sungai). Bagi mereka yang biasa memakan durian, durian merah memang enak dimakan. Tak hairanlah buah ini popular bagi Orang Sungai sendiri.

Ekonomi mereka dahulu bergantung kepada hasil buah dan hasil laut. Sekarang ekonomi mereka makin maju dengan perladangan kelapa sawit. Tetapi mereka tidak tinggalkan ekonomi mereka dahulu. Mereka tetap melakukannya biarpun ekonomi telah maju ke hadapan.

Selain mempunyai amalan kehidupan yang unik, ada satu perkara yang lagi unik terhadap Orang Sungai ini. Kaum ini sebenarnya pernah bersahabat dengan buaya suatu ketika dahulu. Aku tahu yang ini pelik. Macam cerita dongeng puteri kayangan jumpa putera kerajaan bumi. Pertama kali aku mengetahui kisah ini adalah melalui sebuah majalah Infiniti. Majalah ini ada mengisahkan persahabatan buaya dengan Orang Sungai. Kisahnya begini:

"Dahulu ada seorang pemuda mencari rezeki di Sungai Kinabatangan itu. Malang sekali, pemuda ini jatuh ke dalam sungai kerana perahunya yang tidak seimbang secara tiba-tiba. Pemuda itu hampir lemas dan dia kemudian dibantu oleh satu makhluk yang berenang. Sampai di daratan, setelah pemuda sedar dari kelemasan, dia terkejut ada buaya di sebelahnya. Buaya itu cuba mendekati pemuda itu sebagai tanda bahawa dia selamatkan pemuda itu. Pemuda itu pun mengerti dan dia bersyukur atas jasa buaya itu. Kemudian mereka berdua berjanji akan menghormati satu sama lain ketika berada di Sungai Kinabatangan. Selepas kejadian itu, tiada seorang pun antara Orang Sungai Kinabatangan cuba memungkiri janji. Sehingga kini, buaya tidak mengganggu aktiviti Orang Sungai Kinabatangan biarpun mereka pernah bertemu."

Ini kisah yang pernah dicertakan oleh seorang penduduk Kinabatangan yang usianya hampir 100 tahun. Cerita yang dia ketahui pun dari ibubapanya sendiri.

Aku minta kesahihan sendiri dari bapa tiriku sebab dialah Orang Sungai Kinabatangan di Bukit Garam yang asli. Dialah aku mampu bagitau adakah aslinya kisah itu selepas tiada maklumat penting di media. Bapa tiriku menyatakan cerita itu ada betulnya. Ini bukan kisah dongeng manusia berkepala buaya atau Tuhan buaya. Kisah Orang Sungai bersahabat dengan buaya memang wujud. Katanya, tidak mungkin kita mendapat kesahihan cerita dari orang terdahulu sebab semuanya telah tiada di muka bumi ini. Bapa tiriku tidak menyatakan kisah itu adalah palsu, sebab bukti yang wujud di Bukit Garam adalah tiada satu pun kes Orang Sungai dibaham oleh buaya. Pernah suatu ketika nelayan mencari rezeki di sungai, dengan kehadiran buaya, buaya itu cuma melintasi nelayan tersebut. Tiada mencetus gangguan.

Tambahnya, dulu Orang Sungai Kinabatangan digelar Orang Sungai Sukang. Kehidupan seperti kehidupan Orang Sungai juga tetapi yang membezakan Orang Sungai Sukang dengan Orang Sungai sekarang adalah tubuh badan yang besar dan tinggi. Disebabkan Orang Sungai Sukang telah bertebar di seluruh Timur Sabah, keaslian Sungai Sukang hampir pupus. Sejak penjajahan Jepun, sedikit saja Orang Sungai Sukang yang ada sehinggakan Orang Sungai Sukang sekarang ini digelar Orang Sungai Kinabatangan yang mempunyai iras-iras bangsa Jepun.

Mengenai persahabat dengan buaya, bapa tiriku ada mengisahkan tentang peristiwa atuk kepada bapanya (moyang) dengan buaya. Suatu hari, moyang ini seperti biasa, keluar mencari rezeki. Sampai di tepi sungai, moyang terjumpa seekor buaya yang tersekat di akar pokok bakau. Moyang berkira-kira mahu selamatkan buaya atau tidak.

"Nanti aku selamatkan dia, habislah aku kena makan!"
"Ahh! Aku pedulik apa! Kena makan pun kena makan la!"

Moyang terus tekad selamatkan buaya yang tersepit itu tidak kira akan nyawanya. Setelah moyang melepaskan buaya itu dari sepitan akar pokok bakau, buaya terus melarikan diri ke dalam sungai. Moyang pelik. Buaya kan ganas. Membaham tidak kira siapa mangsanya. Kenapa diar lari? Cetus hati moyang.

Tanpa peduli kejadian itu, moyang terus pergi melakukan kerjanya. Waktu malam, moyang termimpi buaya yang pernah dia selamatkan. Buaya itu mendekatinya. Berulang-ulang mimpi itu menghantui moyang. Sehingga suatu hari moyang mencari seseorang yang tahu menafsir mimpi. Moyang menceritakan mimpinya. Kemudian penafsir mimpi itu beritahu:

"Buaya tu berterima kasih sama kamu. Dia mahu cari kamu. Nanti pergi cari dia dan bagi makanan sama buaya tu."

Moyang mengiakan dan terus membuat persiapan mencari buaya yang dia selamatkan itu. Dia pergi tepi pantai tersebut, tidak kelibat buaya itu. Selama 3 hari moyang puas mencari, akhirnya moyang terjumpa buaya itu. Moyang mendekati perlahan-lahan kerana takut tindakan buaya seterusnya. Tetapi buaya itu diam saja. Sampai ke tempat buaya itu, moyang memberikan makanan kepada buaya itu.

"Kalau kamu berterima kasih sama aku. Aku terima. Kalau berterusan kamu dan keluargamu tidak kacau kami, kami pun buat yang sama juga macam kamu semua buat." Moyang berkata.

Dari peristiwa itulah keluarga moyang dan keturunan buaya itu menghormati satu sama lain.

Bapa tiriku berkata, kisah moyang itu adalah ikutan Orang Sungai Sukang setelah peristiwa pemuda dan buaya yang diceritakan dari majalah infiniti itu. Sekarang, perbuatan bersahabat dengan buaya tidak menjadi tradisi. Masing-masing dengan kehidupan sendiri. Tetapi masih menghormati dengan tidak mengganggu kehidupan Orang Sungai/buaya lain.

Kesahihan kisah bapa tiriku ceritakan sukar mahu disahkan kerana ini cumalah kisah dari mulut ke mulut dalam keluarga bapa tiriku. Pembaca mahu anggap dongeng atau mitos, terpulang. Pandangan masing-masing.

Kesimpulan yang dapat aku berikan, Orang Sungai sangat menghormati alam sekitar. Orang Sungai tahu mereka hanya menumpang di alam yang terdapat binatang buas. Mereka dan binatang yang menghuni berkongsi kehidupan sama-sama.

Sampai sekarang aku tidak nampak kelihatan buaya di sepanjang sungai Kinabatangan. Yang aku temui hanyalah kelibat buaya berenang disebalik permukaan sungai. Hanya melintasi perkampungan-perkampungan di tepi sungai.

Aku berharap buaya di Sungai Kinabatangan tidak alami kepupusan dan manusia di sekitar sungai kekal menghormati alam semula jadi ciptaan Illahi ini.