"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Friday 7 November 2014

Orang Sungai: Sahabat Buaya

Biasanya aku selalu lepak sakan tempat-tempat yang penuh dengan buku bila masa kosong. Perpustakaan, jualan buku tepi jalan dan kedai buku menjadi tempat strategik aku 'mencuci mata'. Macam 'usha' awek~ Tapi aku 'usha' buku dan kucing ja. Hobi aku.

Banyak juga aku perhatikan buku-buku keluaran para penulis yang amat pakar dalam penulisan, sama ada melalui kajian atau pengalaman. Dua faktor inilah menjadi asas bagi mencari idea bila membuat penulisan. Asalkan para pembaca dapat mengerti apa sang penulis sampaikan. Kira cukup sudah ilmu dikongsi bersama.

Buku-buku pernah aku tinjau adalah buku kajian mengenai suku kaum. Terlalu banyak kajian mengenai suku kaum di Asia melalui pemerhatian aku. Di Asia Tenggara, banyak suku kaum di Malaysia dikaji oleh pengkaji sejarah. Yang paling popular adalah suku kaum Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Contohnya kaum Kadazan Dusun, segala latar belakang kehidupan kaum ini banyak pengkaji bongkarkan melalui penulisan jurnal. Sekarang inipun pengkaji bahasa pula cuba mengkaji kepelbagaian dialek kaum Kadazan Dusun. Apa yang dapat simpulkan, taburan bangsa-bangsa di Asia terlalu banyak menyebabkan para pengkaji beria-ia membongkar kehidupan sebenar kaum-kaum yang jarang didengari.

Artikel kali ini adalah mengenai bangsa yang jarang didengari (selain orang Sabah sendiri) yang menduduki Sungai Kinabatangan, Orang Sungai. Orang Sungai adalah kaum asli yang menetap di daerah Kinabatangan, Beluran, dan Kota Marudu. Selain itu, orang Sungai juga terdapat di Ranau, Lahad Datu, dan Sandakan. Bangsa ini digolongkan ke dalam bangsa Kadazan Dusun kerana berkongsi adat resam dan bahasa yang hampir sama. Orang Sungai juga adalah suku kaum terbesar di Pantai Timur Sabah. Ramai umumnya tidak mengetahui kewujudan Orang Sungai ini sebab tiada apa-apa maklumat atau pendedahan di media massa.

Orang Sungai juga mempunyai pecahan-pecahan suku tersendiri kerana dialek bahasa yang berbeza. Contohnya Orang Sungai di Beluran dan di Kinabatangan. Biarpun mereka adalah kaum yang sama, dialek yang dipengaruhi oleh bangsa lain dan keadaan geografi yang berbeza menyebabkan dialek bahasa mereka berbeza. Agama yang paling ramai dianuti adalah Islam. Sebahagian dari mereka adalah menganut Kristian dan animisme.

Pakaian Tradisional Orang Sungai hampir sama dengan pakaian tradisional Kadazan Dusun tetapi sepanjang aku berada di Bukit Garam, yang majoriti adalah Orang Sungai Kinabatangan, tidak satu pun mereka ada pakaian tradisional. Mungkin disebabkan mereka terikut dengan aliran zaman kemodenan, pakaian tersebut mungkin tidak kelihatan lagi di Bukit Garam.

Makanan tradisi Orang Sungai yang popular dalam kalangan mereka apabila musim buah adalah durian merah. Durian merah adalah durian di mana ia berbuah kecil, warna kuning keemasan dan isinya berwarna merah. Isinya sesuai dijadikan lauk bersama nasi putih dan juga sambal. Pernah aku merasanya (sebab aku sendiri ada campuran Orang Sungai). Bagi mereka yang biasa memakan durian, durian merah memang enak dimakan. Tak hairanlah buah ini popular bagi Orang Sungai sendiri.

Ekonomi mereka dahulu bergantung kepada hasil buah dan hasil laut. Sekarang ekonomi mereka makin maju dengan perladangan kelapa sawit. Tetapi mereka tidak tinggalkan ekonomi mereka dahulu. Mereka tetap melakukannya biarpun ekonomi telah maju ke hadapan.

Selain mempunyai amalan kehidupan yang unik, ada satu perkara yang lagi unik terhadap Orang Sungai ini. Kaum ini sebenarnya pernah bersahabat dengan buaya suatu ketika dahulu. Aku tahu yang ini pelik. Macam cerita dongeng puteri kayangan jumpa putera kerajaan bumi. Pertama kali aku mengetahui kisah ini adalah melalui sebuah majalah Infiniti. Majalah ini ada mengisahkan persahabatan buaya dengan Orang Sungai. Kisahnya begini:

"Dahulu ada seorang pemuda mencari rezeki di Sungai Kinabatangan itu. Malang sekali, pemuda ini jatuh ke dalam sungai kerana perahunya yang tidak seimbang secara tiba-tiba. Pemuda itu hampir lemas dan dia kemudian dibantu oleh satu makhluk yang berenang. Sampai di daratan, setelah pemuda sedar dari kelemasan, dia terkejut ada buaya di sebelahnya. Buaya itu cuba mendekati pemuda itu sebagai tanda bahawa dia selamatkan pemuda itu. Pemuda itu pun mengerti dan dia bersyukur atas jasa buaya itu. Kemudian mereka berdua berjanji akan menghormati satu sama lain ketika berada di Sungai Kinabatangan. Selepas kejadian itu, tiada seorang pun antara Orang Sungai Kinabatangan cuba memungkiri janji. Sehingga kini, buaya tidak mengganggu aktiviti Orang Sungai Kinabatangan biarpun mereka pernah bertemu."

Ini kisah yang pernah dicertakan oleh seorang penduduk Kinabatangan yang usianya hampir 100 tahun. Cerita yang dia ketahui pun dari ibubapanya sendiri.

Aku minta kesahihan sendiri dari bapa tiriku sebab dialah Orang Sungai Kinabatangan di Bukit Garam yang asli. Dialah aku mampu bagitau adakah aslinya kisah itu selepas tiada maklumat penting di media. Bapa tiriku menyatakan cerita itu ada betulnya. Ini bukan kisah dongeng manusia berkepala buaya atau Tuhan buaya. Kisah Orang Sungai bersahabat dengan buaya memang wujud. Katanya, tidak mungkin kita mendapat kesahihan cerita dari orang terdahulu sebab semuanya telah tiada di muka bumi ini. Bapa tiriku tidak menyatakan kisah itu adalah palsu, sebab bukti yang wujud di Bukit Garam adalah tiada satu pun kes Orang Sungai dibaham oleh buaya. Pernah suatu ketika nelayan mencari rezeki di sungai, dengan kehadiran buaya, buaya itu cuma melintasi nelayan tersebut. Tiada mencetus gangguan.

Tambahnya, dulu Orang Sungai Kinabatangan digelar Orang Sungai Sukang. Kehidupan seperti kehidupan Orang Sungai juga tetapi yang membezakan Orang Sungai Sukang dengan Orang Sungai sekarang adalah tubuh badan yang besar dan tinggi. Disebabkan Orang Sungai Sukang telah bertebar di seluruh Timur Sabah, keaslian Sungai Sukang hampir pupus. Sejak penjajahan Jepun, sedikit saja Orang Sungai Sukang yang ada sehinggakan Orang Sungai Sukang sekarang ini digelar Orang Sungai Kinabatangan yang mempunyai iras-iras bangsa Jepun.

Mengenai persahabat dengan buaya, bapa tiriku ada mengisahkan tentang peristiwa atuk kepada bapanya (moyang) dengan buaya. Suatu hari, moyang ini seperti biasa, keluar mencari rezeki. Sampai di tepi sungai, moyang terjumpa seekor buaya yang tersekat di akar pokok bakau. Moyang berkira-kira mahu selamatkan buaya atau tidak.

"Nanti aku selamatkan dia, habislah aku kena makan!"
"Ahh! Aku pedulik apa! Kena makan pun kena makan la!"

Moyang terus tekad selamatkan buaya yang tersepit itu tidak kira akan nyawanya. Setelah moyang melepaskan buaya itu dari sepitan akar pokok bakau, buaya terus melarikan diri ke dalam sungai. Moyang pelik. Buaya kan ganas. Membaham tidak kira siapa mangsanya. Kenapa diar lari? Cetus hati moyang.

Tanpa peduli kejadian itu, moyang terus pergi melakukan kerjanya. Waktu malam, moyang termimpi buaya yang pernah dia selamatkan. Buaya itu mendekatinya. Berulang-ulang mimpi itu menghantui moyang. Sehingga suatu hari moyang mencari seseorang yang tahu menafsir mimpi. Moyang menceritakan mimpinya. Kemudian penafsir mimpi itu beritahu:

"Buaya tu berterima kasih sama kamu. Dia mahu cari kamu. Nanti pergi cari dia dan bagi makanan sama buaya tu."

Moyang mengiakan dan terus membuat persiapan mencari buaya yang dia selamatkan itu. Dia pergi tepi pantai tersebut, tidak kelibat buaya itu. Selama 3 hari moyang puas mencari, akhirnya moyang terjumpa buaya itu. Moyang mendekati perlahan-lahan kerana takut tindakan buaya seterusnya. Tetapi buaya itu diam saja. Sampai ke tempat buaya itu, moyang memberikan makanan kepada buaya itu.

"Kalau kamu berterima kasih sama aku. Aku terima. Kalau berterusan kamu dan keluargamu tidak kacau kami, kami pun buat yang sama juga macam kamu semua buat." Moyang berkata.

Dari peristiwa itulah keluarga moyang dan keturunan buaya itu menghormati satu sama lain.

Bapa tiriku berkata, kisah moyang itu adalah ikutan Orang Sungai Sukang setelah peristiwa pemuda dan buaya yang diceritakan dari majalah infiniti itu. Sekarang, perbuatan bersahabat dengan buaya tidak menjadi tradisi. Masing-masing dengan kehidupan sendiri. Tetapi masih menghormati dengan tidak mengganggu kehidupan Orang Sungai/buaya lain.

Kesahihan kisah bapa tiriku ceritakan sukar mahu disahkan kerana ini cumalah kisah dari mulut ke mulut dalam keluarga bapa tiriku. Pembaca mahu anggap dongeng atau mitos, terpulang. Pandangan masing-masing.

Kesimpulan yang dapat aku berikan, Orang Sungai sangat menghormati alam sekitar. Orang Sungai tahu mereka hanya menumpang di alam yang terdapat binatang buas. Mereka dan binatang yang menghuni berkongsi kehidupan sama-sama.

Sampai sekarang aku tidak nampak kelihatan buaya di sepanjang sungai Kinabatangan. Yang aku temui hanyalah kelibat buaya berenang disebalik permukaan sungai. Hanya melintasi perkampungan-perkampungan di tepi sungai.

Aku berharap buaya di Sungai Kinabatangan tidak alami kepupusan dan manusia di sekitar sungai kekal menghormati alam semula jadi ciptaan Illahi ini.