"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Tuesday 24 March 2015

Aku, Pejuang Kiri. (5)

20 Tahun Mencari Tuhan: Kehidupan Keempat


Sebelum masjid yang pernah menjadi tempat aku menghadap tuhanku, tokong adalah tempat beribadah pertamaku.

Di sekolah rendah kebangsaan Cina yang berada di Sandakan, di mana disitulah aku mengenal erti belajar. Ada tokong yang besar dan serba indah berhampiran dewan besar. Waktu pulang dari sekolah adalah waktu terbaik bagi pelajar-pelajar sekolah melepak hanya menunggu bas sekolah yang bercat oren dengan berjalur hitam.
                                          
Sedang asyik bermain dalam dewan besar yang sentiasa terbuka (situasi di sana memang bising dan penuh dengan budak sekolah rendah, pengawal keselamatan pun tiada yang guard di dewan), seorang kawan sebas sekolah mengajak. Ayatnya aku pergi bahasa Melayu-lah sebab perbualan ini menggunakan bahasa Mandarin.

“Jom kita main di sana.”
“Mana?”
“Dalam tokong tu.”
“Nanti kena marahlah oleh penjaga tokong tu.”
“Diorang tak marah punya. Jom!”

Apa lagi, tanpa fikir panjang kami berlari terus ke tokong dan main kejar-kejar. Dari situlah setiap hari selepas pergi sekolah, aku dan kawan sebas menjadikan tokong tu seperti kawasan permainan kami. Para penjaga tokong itu memang sporting, malah kehadiran kami membuat mereka terukir senyuman. Tapi kawasan dalaman tokong kami tidak benar memasukinya, atas arahan mereka. Asap colok memang merebak meluas dan baunya memang menusuk hidung kalau siapa siapa yang pertama kali masuk tokong. Tapi kami tidak peduli semua itu sebab dah banyak kali masuk tokong, jadi suasana sebegitu tiada masalah bagi kami.

Suatu hari, aku tidak ingat berapa hari bulan sebab memang kisah lalu tanpa catatan, biasanya kami bermain di luar tokong saja. Leka main kejar-kejar, larianku terpesong ke kawasan dalaman tokong. Mulanya ringan-ringan saja, main dari luar kawasan hingga kawasan tangga batu tokong yang serba putih dengan ukiran yang unik. Tapi tanpa sedar aku termasuk ke dalam kawasan dalamannya. Kawan-kawan aku pun sama tapi mereka tidak hiraukan, terus bermain dan berlari kawasan dalaman tokong. Aku pula, terpaku sebentar.

Sebuah patung yang besar, dengan kepala yang besar, bermata sepet, cuping telinga panjang dan badannya bersalut tembaga. Betul-betul di hadapan aku. Di sekelilingnya terdapat hiasan-hiasan untuk upacara sembahyang dan tengah-tengah patung tembaga itu terdapat bekas dengan cucukan-cucukan colok yang terpadam dan bernyawa lagi dengan sebaran asap. Ditambah lagi dengan kehadiran para sami yang sedang melakukan aktiviti pembersihan.

Aku pada ketika itu terpegun, teruja dan merasa selesa bila berada dalam tokong serba mereah bersebelahan sekolah lama aku. pertama kali aku masuk, aku merasa nyaman merasai suasana dalaman tokong itu. Memang nyaman. Seperti aku adalah penyembah patung yang suci. Aku tidak tahu apa yang merasuk aku sehingga aku dibuai kenyamanan pabila menghadap patung yang paling besar pertama kali aku nampak.

“Boboy! Kau mahu main lagikah?”
“Lebih baik kita keluar dari sini. Kena marah kita nanti.”

Suara kawan sekolah melarikan fokus aku terhadap patung sembahan dan suasa sekelilingnya.

“Aku main lagilah!” Terus aku berlari menuju mereka yang menunggu di tepi tangga batu.

Kalau kamu semua tanya aku, pernahkah aku pergi masjid ketika aku berada zaman budak-budak, jujur aku cakap, bukan masjid petama kali aku singgah, tokonglah rumah ibadah pertama aku singgah. Pertama kali aku memasuki masjid ketika aku berada dalam darjah lima di sekolah Melayu di Kinabatangan.

Walaupun itulah peristiwa pertama dan terakhir aku menjenguk tokong, namun tokong itulah mampu mendamaikan jiwa diri aku sendiri buat pertama kalinya. Sebenarnya, mana-mana rumah ibadah, kalau isi dalaman rumah ibadah itu penuh dengan aktiviti-aktiviti keagamaan kuat menyembah Tuhan, dengan sangat menjaga kebersihan dengan cemerlang, tak mustahil banyak aura-aura positif mengalir setiap penjuru rumah ibadah sehingga mampu mendamaikan mana-mana jiwa yang mencari perasaan bertuhan.

Namun, sesuci-sucinya rumah ibadah mana-mana agama, suasana damainya tidak melawan suasana damai Mekah. Pusat kiblat dalam peribadahan muslim sedunia. Aura-aura positif di Tanah Suci itu terutamanya Mekah sangat kuat sehingga mampu menjadi sumber tenaga kebatinan para penghuni dan Jemaah-jemaah luar untuk aktif melakukan ibadah semata-mata mahu menemui Tuhan secara dekat. Bukan itu saja kelebihan Mekah yang sedang penghuninya gempar-gempurkan, ada lagi keistimewaan lain yang menjadikan Mekah adalah pusat penting bagi pengumpulan mana-mana Jemaah muslim beribadah sedunia.


Aku harap, sebelum Malaikat Maut mencari aku untuk senarai maut seterusnya, mampu menunaikan hasrat beribadah kepada Tuhan di Mekah. Walaupun aku bakal mati, usaha aku tetap tidak disia-siakan.