"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Saturday 28 February 2015

Aku, Pejuang Kiri. (4)

20 Tahun Mencari Tuhan: Kehidupan Ketiga



Ibu aku sibuk, sebagai penjaga kedai fotografi. Bapa kandung aku, seorang Cina muallaf, sibuk dengan urusan wiring-nya. Aku dan adik perempuan aku, dijaga oleh atuk nenekku sebelah bapa kandung aku.

Hidup aku di sana macam budak-budak cina lain. Memakai seluar pendek, baju pendek, bersinglet, dan bermain dengan budak-budak cina. Tiada main congkak. Tiada main permainan getah. Tiada main guli. Paling femes kumpul stiker kartun dan main permainan kad kartun. Permainan femes dalam kalangan budak-budak cina ketika itu.

Pergi sekolah rendah cina waktu pagi. Sampai tengah hari balik dari sekolah naik van sekolah yang mana dipenuhi oleh budak-budak dari sekolah cina. Malamnya ada tuisyen. Tuisyen yang dikendalikan guru sukarela yang tegas. Walaupun macam sengsara waktu aku sekolah, dalam kepala aku cuma tahu main. Main, main, main. Biasalah, masih dalam keadaan suci lagi dalam pemikiran budak berusia 7 tahun.

Tinggal di rumah nenek dan atuk cinaku yang aku gelar Popo (nenek) dan Kongkong (atuk), aku digelar oleh keluarga belah bapa kandung aku sebagai Gogo, bermaksud abang. Mungkin aku berada status anak pertama lelaki. Yelah, orang Cina ni bahagia gila kalau mendapat anak sulung lelaki dalam satu keluarga. Sebab gelaran Gogo membawa ‘ong’ dari mereka, mereka rela menyebut gelaran itu kepadaku.

Yang paling memorial semasa berada di rumah keluarga cinaku, pabila meraihkan Tahun Baru Cina. Segala tradisi Cina dilontarkan ke dalam hari yang penuh kebahagiaan dan kekayaan ini. Dengan hiasan rumah serba merah. Dengan segala tulisan cina ditampal ke dinding dengan ayat kaligrafi berbunyi ‘Selamat Tahun Baru Cina’ sebagai hiasan kemeriahan. Tidak lupa juga kawasan perumahan keluarga cinaku disambut dengan tarian-tarian singa yang memukaukan bagi kami ini, kanak-kanak cina. Sememangnya hari paling memorial ketika itu.

Apa yang paling aku tidak lupakan, peristiwa yang membuat aku kaku sebentar di hari penuh kekayaan itu, adalah aku dan adik perempuan aku disuruh Popo dan Kongkong menyembah dewa-dewi. Mereka memanggil kami berdua dan menghadapkan posisi hadapan kami ke arah pondok merah kecil yang melekat pada dinding rumah di mana kami tidak mampu mencapainya. Dalamnya terdapat patung wanita berjubah putih dan sekelilingnya terdapat hidangan buah oren kebiasaannya, juga terdapat tempat menyucuk colokn yang masih membara.

Dan kami berdua diberi colok panjang yang baru membara oleh kedua orang nenek atuk kami. Dan kami disuruh tunduk kepala sebanyak tiga kali sambil pegang colok membara itu menghadap patung serba putih itu. Apa yang kami berdua melakukan tadi adalah ritual penyembahan dewa-dewi sempena hari kebahagiaan dan kekayaan ini untuk menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan senantiasa.

Aku fikir. Memikirkan penyembahan dewa-dewi itu. Itulah kali pertama aku menyembah sesuatu yang lebih berkuasa. Yang mampu menentukan atur langkah kehidupan manusia sehingga manusia itu dijemput malaikat kematian. Tetapi sesuatu yang aku sembah adalah patung yang dianggap sebagai dewa-dewi, dimana keadaannya akan musnah berkecai jika tidak dijaga sepenuhnya. Bukan sesuatu yang tidak nampak dek mata telanjang kita. Sejak penyembahan pertama itu, aku ketika itu mempedulikan saja. Yang penting aku layan hidup bahagiaku.

Ramai antara budak-budak ketika mampu menginjak tanah, mampu menggerakkan mulut, mampu memberi reaksi apa yang berlaku disekeliling, kebiasaannya ibubapa yang pro-Islam akan mengajar anaknya untuk membaca jawi, membaca ayat-ayat pendek dari Kalam Allah, sebagai ajaran Islam pertama. Kemudian pabila menginjak ke sekolah rendah, mulalah ibubapa membawa anaknya belajar di sekolah agama yang mengajarkan Islam secara terperinci di waktu petangnya. Merangkumi siapakah Tuhan dan pengutusNya, mengamal 5 rukun Islam dan 6 rukun iman. Pembelajaran yang asas dalam mengenal Islam.

Tapi tidak semua budak-budak bertuah mengenal Islam. Ada yang dari awal tidak diajar Islam sepenuhnya. Hanya diajar apakah Islam dimata ibu dan bapa. Tidak dibawa ke sekolah agama sebab kesibukkan ibubapa itu sendiri. Paling teruk sampai menyembah tuhan lain selain tuhan dalam ajaran Islam. Macam aku, awal-awal lagi disuruh menyembah dewa-dewi pagan masyarakat Cina. Selepas itu aku terus didedahkan akan kepaganan masyarakat Cina.


Beruntunglah kamu semua yang sudah mengenal tuhan bernama Allah dalam ajaran Islammu yang kamu percaya, yang asli sejak kelahiranmu. Bukan macam aku ini, awal-awal percaya pada dewa-dewi yang kononnya maha agung. Awal-awal sesat. Sesat mencari Tuhan yang sebenar.