"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Monday 14 April 2014

~Kemisterian Tamadun Kuno (3)~

Episod 3: Tamadun Kurniaan Allah.

Bismillahirohmanirrahim.

InsyaAllah kali ini saya membentangkan ketamadunan pertama ini, iaitu Tamadun Kurniaan Allah. Pembentangan ini berserta pendapat peribadi saya mengenai tamadun ini. Sebelum ini di Episod 2, saya ada senaraikan 2 ketamadunan di dunia iaitu Tamadun Kurniaan Allah dan Tamadun Sembahan Syaitan/Dajjal. Entri kali ini saya hanya fokuskan ketamadunan pertama ini disebabkan mempunyai huraian yang panjang untuk perkongsian untuk awam.

Pasti anda semua tidak pernah dengar atau melihat ungkapan ini, Tamadun Kurniaan Allah. Sebenarnya ungkapan ini saya lahirkan untuk mengklasifikasikan tamadun-tamadun dunia terdahulu mengikut ciri-ciri yang saya telah tetapkan disepanjang kajian peribadi saya.

Tamadun Kurniaan Allah adalah tamadun-tamadun yang pernah Allah SWT firmankan dalam kitab agung bagi umat akhir zaman iaitu Al-Quran. Antara tamadun yang disenaraikan:

1) Kaum Nabi Nuh AS
2) Kaum Ad'
3) Kaum Nabi Saleh AS, Tsamud.
4) Kaum Nabi Luth AS
5) Kaum Nabi Syuaib AS, Madyan
6) Ashab Al-Sabt
7) Bani Israel
8) Kaum Saba'
9) Kaum Firaun (Tamadun Mesir Kuno)

Ciri-ciri tamadun yang saya tetapkan:

1) Dikurniakan nikmat-nikmat terutamanya kepakaran masyarakat dari Allah SWT.
2) Tamadun yang pernah dikunjungi oleh para nabi untuk sebaran agama tauhid.
3) Tiada peninggalan artifak yang khusus setelah melalui zaman kejatuhan/kemunduran.

1. Ciri Pertama, dikurniakan nikmat-nikmat terutamanya kepakaran masyarakat dari Allah SWT.


Majoriti tamadun-tamadun yang pernah disenaraikan dalam Al-Quran mempunyai kenikmatan tersendiri hasil kurniaan dariNya. Kaum Saba' adalah salah satu contoh yang Allah firmankan:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun." (Saba': 15)

Kaum Saba' adalah salah satu antara empat peradaban besar yang hidup di Selatan Tanah Arab. Kaum ini hidup sekitar 1000-750 SM dan hancur sekitar 550 SM setelah melalui penyerangan selama dua abad dari Persia dan Arab.

Ibu kota kaum Saba', Ma'rib adalah ibu kota yang sangat makmur, berkat lokasi geografinya yang strategik. Ibu kota ini dekat dengan Sungai Adhanah. Titik di mana sungai ini bertemu Jabal Balaq sangatlah tepat untung membina sebuah empangan. Dengan memanfaatkan alam di kota Ma'rib ini, kaum Saba' membina sebuah empangan di tempat di mana ketamadunan mereka berada. Kemudian sistem perairan pun bermula berkat pembinaan empangan. Disebabkan empangan itulah tamadun ini memcapai tingkat kemajuan yang tinggi sehinggakan penulis Yunani bernama Pliny kagum akan kehijauan kota Ma'rib ketika berkunjung.

Kaum Saba' juga mempunyai sistem ketenteraan yang terkuat pada ketika itu. Sehinggakan tamadun itu pernah menjadi tamadun terkuat melawan para tentera dari Rom dan Mesir Purba. Kekuatan tentera yang tiada kalahnya ada disebut dalam Al-Quran.

"Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan." (An-Naml: 33)

Selain Kaum Saba', kaum Ad' juga dikurniakan kenikmatan yang tak pernah tamadun lain kecapi. Selain mempunyai kawasan pertanian yang subur, masyarakat Ad' yang lokasi ketamadunannya di Hadramaut, Yaman mempunyai kepakaran dalam seni bina dan ukiran. Mereka mampu membina dan mengukir tiang-tiang bangunan. Tiang-tiang tersebut menjadi simbol kekayaan dan kemakmuran tamadun itu. Sekaligus kaum Ad' mencapai tahap kegemilangan yang tinggi.

2. Ciri kedua, tamadun yang pernah dikunjungi oleh para nabi untuk sebaran agama tauhid.

Tamadun-tamadun yang tersenarai dalam Al-Quran rata-ratanya ingkar akan Allah SWT setelah dibagi kenikmatan yang Allah pernah berikan hanya khusus kepada setiap tamadun yang Dia hendaki. Tamadun-tamadun tersebut menganggap kenikmatan yang mereka kecapi adalah hasil 'kurniaan' dari tuhan-tuhan yang mereka sembah. Dalam usaha menyelamatkan tamadun itu terjunam ke dalam lubang kesesatan, para nabi diutuskan ke setiap tamadun untuk mengajak masyarakat tamadun untuk menganut agama yang mentauhidkan Allah SWT.

Apa yang saya dapat selidiki, tamadun-tamadun yang pernah diutus para nabi hanyalah yang tersenarai dalam Al-Quran. Ini yang membuat saya tertanya. Bagaimanakan tamadun ddunia yang lain yang tiada dalam Al-Quran? Sama ada tamadun tersebut tetap kufur atas kenikmatan ataupun pernah diutus para nabi hanya Dia yang Maha Mengetahui. Bagi saya, sepanjang penelitian tamadun-tamadun yang menerima para nabi hanyalah berada dalam lingkungan Tanah Arab. Ia seolah-olah tamadun-tamadun yang jauh dari Tanah Arab tidak Allah utuskan para nabi. Mungkinkah ada orang soleh yang Allah utuskan untuk kaum-kaum luar Tanah Arab? Waallahualam.

Berikut petikan-petikan ayat di mana tamadun-tamadun pernah diutus para nabi.

"Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri." (At-Taubah: 70)

"Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan." (Yunus: 13)

"Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing" (Al-Hajj: 42)



3. Ciri ketiga, tiada peninggalan artifak yang khusus setelah melalui zaman kejatuhan/kemunduran.

"Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran." (Yunus: 73)

"Maka ketika datang azab Kami, Kami selamatkan Soleh berserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing." (Hud: 66-67)

"Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar." (Al-Hijr: 73-74)

Secara takdirNya, mana-mana tamadun yang pernah mengalami zaman kegemilangannya pasti akan bertemu dengan zaman kejatuhan atau zaman keruntuhan. Sebab-sebab utama adalah bencana alam dan juga penguasaan dari musuh yang lebih dominan. Apa yang cuba yang saya fokuskan, mana-mana tamadun yang disenaraikan dalam Al-Quran, setelah dibinasakan oleh Allah SWT sebagai balasan bagi masyarakat tamadun yang ingkar akan para nabi, tiada satupun artifak-artifak khusus yang ditinggalkan dalam keadaan baik. Jika ada pun artifak tersebut mungkin telah mengalami kerosakan yang teruk dan hanya ada cebisan-cebisannya saja.

Seperti ketamadunan Kaum Saba', setelah biasanya tamadun itu oleh banjir Arim. Empangannya yang pernah menjadi mercu bagi Kaum Saba' musnah terus dan kota Ma'rib hanya menjadi runtuhan-runtuhan yang terpencil.



Tamadun Kaum Nabi Nuh AS yang pernah dikurniakan umur yang panjang melebihi purata umur manusia kini juga hampir tiada artifak-artifak yang ditemui setelah mengalami banjir besar. Dalam pengkajian bagi mencari ketamadunan Kaum Nabi Nuh, pelbagai-bagai usaha arkeologi yang dilakukan di Ur, Uruk, Keisy dan Syurubak (di Iraq kini) yang menunjukkan kesan-kesan pernah berlaku peristiwa banjir antara Zaman Abeid dan Zaman Sulalat pertama. Banjir besar dipercayai terjadi pada akhir zaman Jumdah Nashar. Seorang ahli arkeologi, Charles Leonard Woolly telah menemui lapisan lumpur (alluvial clay) yang tebal di Kota Ur dengan kedalaman 3.5 meter. Beliau juga menemui bekas peninggalan tempat tinggal manusia pada lapisan-lapisan lumpur itu dan juga di dalam Sungai Tigris dan Sungai Furat.

Inilah huraian-huraian di setiap 3 ciri-ciri tamadun kurniaan Allah yang saya telah catatkan. Apa yang dapat simpulkan bahawa, tamadun-tamadun ini sememangnya terbukti mempunyai kenikmatan-kenikmatan yang melebihi kenikmatan pada tamadun dunia sekarang. Kenikmatan yang Allah berikan pada setiap tamadun yang Dia hendaki sememangnya tiada tamadun lain yang mampu memilikinya. Apa yang mendukacitakan, manusia dilahirkan secara alpa. Masyarakat tamadun takbur akan kenikmatan yang mereka memiliki. Mereka terbuai akan kurniaan-kurniaan yang umpama syurga bagi mereka. Apabila para nabi muncul untuk menyelamatkan masyarakat tamadun dari terus terhanyut akan kenikmatan, mereka tidak mengiktirafkan ungkapan-ungkapan dari para nabi dan mengingkari akan suruhan Allah kepada mereka. Disebabkan kekufuran mereka, Allah SWT tanpa ragu-ragu membinasakan mereka sekelip mata saja. Segala kenikmatan mereka miliki hancur musnah bersertakan monumen-monumen hebat yang pernah mereka ciptakan. Lantas masyarakat kaum pupus dari dunia dan lokasi pembinaan tamadun hanya menjadi padang jarak padang terkukur. 

Begitulah penceritaannya.

Info-info yang saya dapat ini saya temui faktanya melalui buku bertajuk Kaum-Kaum Yang Pupus, karya Harun Yahya.


Sekarang teruskan ke ketamadunan kedua, iaitu Tamadun Penyembah Syaitan/Dajjal. Ketamadunan ini adalah kontra bagi Tamadun Kurniaan Allah. Pembentangan mengenai tamadun ini insyaAllah saya bentangkan.

Tamat Episod 3.

Friday 11 April 2014

~Kemisterian Tamadun Kuno (2)~

Episod 2: OOPART atau Zaman Megalitik?


Bismillahirohmanirrahim.

Post lepas saya tinggalkan 2 persoalan yang diciptakan oleh ahli-ahli evolusionis yang bertanggungjawab mencipta aliran kronologi ketamadunan yang penuh khayalan itu. Sila rujuk Episod 1.

Kita lanjutkan soalan pertam dahulu.
Apakah itu OOPART?


OOPART, "Out-of-place Artifact", adalah istilah yang dikemukakan para ahli-ahli evolusionis/arkeologi bagi melabel mana-mana artifak yang kononnya 'lari' dari zamannya, bermaksud artifak dari sesuatu tamadun yang ciri-cirinya tiada dalam ciri-ciri zaman prasejarah.

Senarai-senarai artifak yang dilabel sebagai OOPART.

1) Hieroglif Mesir Kuno yang mempamerkan ukiran seolah-olah lampu mentol gergasi.



2) Hieroglif Mesir Kuno yang mempamerkan ukiran berupa kapal selam, kapal pelampung & helikopter.


3) Bateri kuno ditemui di Baghdad, berusia 2000 tahun lalu.


4) Tengkorak kristal milik Tamadun Maya.


5) Jambatan Adam yang menghubungkan Selatan India dan Sri Lanka. Berusia 2 juta tahun lalu.



6) Baji Aluminium berusia 11,000 tahun lalu.


7) Bongkah-bongkah batu sfera bersaiz gergasi yang ditemui di Coata Rica.


8) Mesin Antikythera, sejenis teknologi komputer berumur ratusan tahun sebelum Zaman Nabi Isa AS.


9) Patung kepala di Pulau Easter.


10) Penemuan bangunan ziggurat ( piramid bersegi empat) ditemui berhampiran Okinawa, Jepun. Berusia 8000 SM.


Inilah 10 senarai artifak yang dilabel OOPART. Sebenarnya banyak lagi artifak yang perlu disenaraikan namun 10 artifak ini bagi saya adalah yang femes dalam kalangan ahli-ahli arkeologi dunia. Mau tahu kisah di sebalik artifak-artifak ini, sumber ada di internet. Jika anda seorang yang bencikan info-info di internet, cari dan beli buku mengenai artifak-artifak berstatus OOPART ini. Kiranya banyak buku-buku berkisahkan artifak sebegini.

Jika anda berfikiran aliran 'zaman prasejarah', tetap anda gelarkan artifak-artifak sebegini adalah artifak yang 'lari' dari zamannya. Namun ketahuilah, jika anda mengkaji Al-Quran secara mendalam, anda akan menjumpai firman dariNya yang berbunyi,


Mahfumnya:
"Dan orang yang hidup sebelum mereka sekarang ini pernah mendustakan Kami, padahal mereka yang ada sekarang ini belum sampai pada sepersepuluh (1/10) yang pernah Kami berikan kepada mereka dahulu kala." Saba': 45. 

Bila ahli-ahli arkeologi yang mengkaji berlandaskan Al-Quran ini, berserta bukti dari firman Allah SWT ini, mereka memutuskan bahawa tamadun-tamadun terdahulu sememangnya teramat canggih peradabannya daripada peradaban di zaman sekarang ini. Jika diteliti artifak-artifak OOPART ini, kita mendapat petunjuk bahawa artifak-artifak ini adalah bukti bagi kegemilangan sebuah tamadun. Tamadun yang mencapai zaman kegemilangan dari seluruh aspek dan mempunyai kecanggihan peradaban tersendiri adalah tamadun yang melalui Zaman Megalitik. Zaman Megalitik inilah zaman kegemilangan bagi tamadun yang berjaya. 

Zaman Megalitik ini sebenarnya tiada dalam aliran kronologi zaman prasejarah yang dicipta para evolusionis. Dan mereka tetap menggelarkan artifak-artifak yang pelik di mata mereka sebagai OOPART bagi mengekalkan tradisi Darwinisma dalam aliran kronologi ketamadunan mereka.

Alhamdulillah sekarang kita telah jelas akan pemikiran sebenar ahli-ahli arkeologi dalam mengetahui aliran kronologi ketamadunan dunia ini.

Sekarang kita kaji sejarah ketamadunan lebih mendalam lagi. Mengenai peradaban tamadun itu sendiri. Melalui Surah Saba' ayat 45 kita sedia maklum bahawa tamadun-tamadun terdahulu mempunyai kecanggihan yang melebihi kecanggihan tamadun dunia sekarang ini. Walau bagaimanapun, tamadun-tamadun yang disenaraikan dalam Al-Quran hanyalah:

1) Kaum Nabi Nuh AS.
2) Kaum Ad. 
3) Kaum Nabi Saleh AS, Tsamud.
4) Kaum Nabi Luth AS.
5) Kaum Nabi Syuaib, Madyan.
6) Ashab Al-Sabt
7) Bani Israil.
8) Kaum Saba'.
9) Kaum Firaun (Tamadun Mesir Kuno).

Tamadun-tamadun yang disebut dalam Al-Quran majoriti dikurniakan Allah SWT pelbagai kenikmatan (kecanggihan peradaban) agar tamadun-tamadun ini tetap teguh beribadah kepada Allah SWT. Namun atas keingkaran mereka, tamadun-tamadun ini hancur olehNya sekaligus kenikmatan-kenikmatan mereka perolehi.

Masalahnya bagaimana dengan tamadun-tamadun lain yang berjaya juga dari segi kecanggihannya? Adakah mereka tersenarai sebagai tamadun yang pernah diberi kurniaan dariNya dan hancur musnah juga hasil dari keingkaran tamadun kepada Allah?

Dia boleh saja senaraikan tamadun-tamadun yang pernah melalui zaman kegemilangan, tapi INGAT. Al-Quran adalah sumber panduan bagi umat Nabi Muhammad SAW, bukannya kitab sejarah dunia. Kaum-kaum yang Dia senaraikan hanya sebagai peringatan kepada para hambaNya agar kekal beribadah terus kepadaNya.

Sepanjang kajian, saya menemui fakta bahawa ada segelintir tamadun-tamadun dunia mengakui kegemilangan yang tamadun itu kecapi bukannya kurniaan dari Allah SWT, namun kurniaan yang diperolehi adalah dari PARA DEWA yang mereka sanjungi. Tamadun-tamadun yang perolehi kenikmatan dari makhluk selain Allah, saya gelaran sebagai tamadun penyembah SYAITAN/DAJJAL. Ini fakta saya temui dalam buku Membongkar Misteri Dajjal, karya Muhammad Nurani Maarif.

Jadi, ada dua ketamadunan yang saya sendiri senaraikan, iaitu:

1) Tamadun kurniaan Allah SWT.
2) Tamadun penyembah Syaitan/Dajjal.

Nak tahu perbezaannya?

Tamat Episod 2.

Wednesday 9 April 2014

~Kemisterian Tamadun Kuno (1)~

Episod 1: Aliran Kronologi Ketamadunan Dunia.


Sebelum saya melanjutkan pengisian-pengisian fakta ini, perlu diingatkan bahawa segala maklumat-maklumat yang diperoleh adalah sahih dan perkhabaran mengenai maklumat sebegini sudah sedia maklum tersebar meluas. Dan juga apa yang saya taipkan hanyalah hipothesis-hipothesis yang akan menggalakkan anda semua untuk mengkaji mendalam lagi.

Izinkan saya menyebarkan maklumat-maklumat penting untuk keilmuan anda semua.

Bismillahirohmanirrahim.

Mengenai peraliran kronologi tentang ketamadunan manusia sedunia. Ada dua aliran kronologi ketamadunan ini yang saya tetapkan sepanjang pengkajian berlaku, iaitu:

1) Mengikut ahli-ahli evolusionis.
2) Mengikut Al-Quran.

Sekarang menjurus aliran pertama, kronologi ketamadunan mengikut ahli-ahli evolusionis.

Pernah belajar subjek Sejarah di waktu sekolah menengah? Saya kira anda semua masih waras lagi untuk mengingati pembelajaran Sejarah di persekolahan anda. Dalam pembeajaran Sejarah, kita secara tak langsung 'ditanam' kefahaman mengenai aliran kronologi ketamadunan yang telah ditetapkan. Ingat lagi info mengenai zaman-zaman prasejarah? Paleolitik, Mesolitik, Neolitik dan Logam?


Alhamdulillah. Tahniah anda masih ingat lagi info yang termaktub dalam pembelajaran Sejarah ini. Dari Zaman Paleolotik yang mana manusia ketika itu hidup secara primitif hinggalah ke Zaman Logam di mana manusia ketika itu mahir membuat tembikar dan mencipta peralatan logam. Ya! Inilah info-info yang lama 'melekat' dalam otak kita ketika memikirkan tentang asal usul tamadun kuno dunia.

Tahukah anda? (Saya tahu anda semua tahu cerita sebenar di belakang tabir aliran ini namun saya me'refresh'kan lagi ingatan anda mengenai aliran ini) Sebenarnya aliran kronologi ini adalah aliran yang disepakat oleh ahli-ahli arkeologi dunia yang mempunyai fahaman 'evolusion'isme. Sebab mereka bersepakat bahawa aliran ini adalah betul untuk dipelajari kerana secara diam-diam mereka ini mahu mengekalkan lagi ajaran Darwinisme agar ajaran ini tidak tenggelam sepenuhnya. Mengekalkan kefahaman yang manusia juga mampu berevousi. Aliran ini seolah-olah mengesahkan lagi kefahaman Darwin akan idea evolusinya mengenai manusia. Dengan membuktikan perjumpaan-perjumpaan artifak kuno di gua saja aliran ini dikekalkan untuk 'santapan' para pengkaji sejarah.


Inilah gambaran yang 'dicipta' oleh ahli-ahli arkeologi berfahaman 'evolusion'isme hanya membuktikan artifak yang ditemui dalam gua saja.

Teruskan ke aliran kedua, kronologi ketamadunan mengikut Al-Quran.
Aliran ini hanya para pengamal, pengkaji Al-Quran dan segelintir pengkaji sejarah saja tahu aliran ini. Dalam Al-Quran ini, ia mempamerkan ketamadunan mengikut zaman di mana para Nabi muncul. Dari Zaman Nabi Adam AS hinggalah ke Zaman Nabi Muhammad SAW. Bagi saya aliran kedua ini berbeza sekali dengan aliran pertama kerana zaman prasejarah yang dibayangi oleh para ahli evolusionis sangatlah berbeza akan kehidupan tamadun di zaman ketika para nabi muncul.

Contohnya zaman Nabi Adam AS. Ketika permasalahan jodoh dalam kalangan Habil & Qabil, Nabi Adam AS mengusulkan permasalahan ini kepada Allah SWT. Cara penyelesaiannya adalah kedua-dua puteranya harus memberikan korban berbentuk hasil tanaman dan ternakan kepada Allah SWT unutk dipilih. Jika korban tersebut diterima Allah, maka dia berhak memilih jodohnya. Maka apakah bapa Habil & Qabil juga petani? Benarkah manusia pertama dunia ini bukannya primitif malah tahu akan ilmu pertanian?

Contoh kedua, Zaman Nabi Nuh AS. Selama 950 tahun Nabi Nuh AS berdakwa kepada kaumnya namun hanya beberapa orang saja mengikuti Nabi Nuh. Nabi Nuh kemudian mengadu kepada Allah akan kekecewaannya terhadap kaumnya. Dan doa baginda dikabulkan Allah SWT dan mereka itu akan dikenakan hukuman mati tenggelam. Setelah Nabi Nuh menerima perintah Allah untuk membina bahtera segeralah Nabi mengumpul para pengikutnya untuk menyiapkan bahtera tersebut dengan menggunakan perkakas seperti kayu, paku dan sebagainya. Setelah bahtera siap dibina, Nabi telah menerima wahyu Allah untuk mengumpulkan para pengikutnya, pelbagai haiwan dan tumbuhan di dalam bahtera tersebut. Persoalannya, Nabi Nuh mempunyai ilmu pertukangan ketika di zamannya. Apakah Nabi Nuh juga dianggap ‘primitif’ jika ilmu pertukangan dia mahir yang mana ilmunya ini tiada dalam silibus zaman prasejarah?



Bahtera Nuh yang ditemui di Gunung Ararat, Turki Timur.

Dua contoh ini sajalah yang membuktikan bahawa aliran kronologi ketamadunan berlandaskan Al-Quran ini mampu menyaingi aliran kronologi ketamadunan berlandaskan kefahaman para evolusionis.

Para evolusionis bingung akan fakta-fakta yang terdapat dalam Al-Quran mengenai kehebatan-kehebatan tamadun di zama setiap para nabi. Fakta sebegini bagi mereka mampu menguburkan aliran kronologi ketamadunan mereka yang mempunyai unsur Darwinisme. Bertambah bingung apabila teknologi-teknologi di zaman kuno seolah-olah 'lari' dari ciri-ciri teknologi dalam zaman prasejarah. Untuk menutup kebingungan mereka akan 'kepelikan teknologi' ini, demi mengekalkan aliran kronologi ketamadunan mereka, mereka gelarkan teknologi yang 'lari' dari zamannya adalah OOPART.

Apakah teknologi-teknologi tamadun kuno yang kononnya 'lari' dari zamannya?
Apakah OOPART?

Tamat Episod 1.