"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Saturday 6 June 2015

Siang Doktor, Malam Gelandangan.

Lama aku tidak menaip sesuka hati setelah menghentam habis segala tugasan yang perlu dihantar dalam minggu terakhir sebagai mahasiswa tahun ke-3 (Ada 2 tugasan lagi kena hantar minggu depan. Ok itu parah).

Banyak aku taip macam-macam artikel hasil kajian rambang aku tapi aku hold dulu. Sekarang aku mahu kongsikan artikel ini yang sepatutnya para intelektualis patut mengambil iktibar dan aplikasikannya selain mengorek gaji buta yang disorongkan oleh majikan. Sila membaca penuh minat.


Siang Doktor Malam Gelandangan


Menjadi doktor bukan hanya merawat pesakit, tetapi dalam masa yang sama memberi mesej, inspirasi dan motivasi kepada masyarakat. Namun, berapa ramai dalam kalangan doktor sekarang yang benar-benar ikhlas dan bersungguh dalam kerjaya mereka, tanpa mengharapkan imbuhan atau populariti? Hakikatnya, tidak ramai doktor seperti yang seorang ini.

Dr. Jim Whiters merupakan seorang doktor di Pittsburgh, Pennsylvania. Seperti juga doktor-doktor lain, setiap hari beliau sangat sibuk menangani ramai pasien di tempat kerjanya. Boleh dikatakan, ada saja kes mencabar yang perlu ditangani hingga kadangkala tidak menang tangan dibuatnya.

Tugas seorang doktor diakui memang memenatkan. Namun, siapa sangka, tatkala doktor lain pulang ke rumah untuk beristirehat sejurus selesai bertugas, Dr. Whiters pula masih komited dengan tugasnya. Malah, demi tanggungjawab sebagai seorang doktor kepada masyarakat, beliau sanggup merubah penampilan menjadi sesuatu yang tidak pernah diimpikan oleh mana-mana manusia.

Betapa tidak, setiap malam - selama empat hari seminggu, beliau akan berdandan seperti layaknya seorang gelandangan. Memakai baju lusuh dan membawa beg usang. Dengan gaya serabai, dia mengelilingi kota bersama rakannya, Mike Sallows. Apakah sebenarnya yang berlaku?

Bergaya seperti tidak terurus itu bukanlah bermaksud Dr. Whiters sudah tidak waras fikiran. Tapi apa yang dilakukan beliau sungguh mulia. Dia sanggup merubah imej seorang doktor semata-mata mahu mendekati para gelandangan dan pengemis, seterusnya membantu merawat golongan itu dengan percuma tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Memang payah untuk kita bertemu dengan seorang doktor yang begitu komited dan tidak memikirkan keuntungan seperti Dr. Whiters. Kalau adapun, kebanyakannya mengharapkan bayaran sehingga ada kalanya sanggup mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain.

Bab doktor sombong, kerek, sambil lewa, malah geli menyentuh pesakit - itu juga biasa kita jumpa. Tapi, sebenarnya tidak semua pengamal perubatan bersikap begitu. Masih ada doktor berhati mulia dan ikhlas dengan tugas mereka. Tinggal lagi, kita belum menemui doktor sebaik itu.

Samalah juga dengan Dr. Whiters. Sebelum ini, tiada siapa pun tahu wujud doktor sebaik beliau. Sehinggalah pada tahun 1992, kemuliaan hati dan kebaikan beliau satu persatu tersingkap ke pengetahuan umum.

Menurut Dr. Whiters, ramai golongan miskin menderita sakit dan memerlukan rawatan. Malang sekali, penderitaan mereka ini selalunya berakhir dengan kematian kerana tidak ada pihak prihatin untuk membantu merawat atau membayar kos perubatan mereka. Sejak itu, beliau nekad ingin membantu golongan kurang bernasib baik di Pennsylvania.

Pada mulanya, niat baik Dr. Whiters itu sedikit terhalang. Ini kerana, sebagai individu yang tidak pernah terdedah dengan kehidupan gelandangan, beliau tidak tahu di mana kawasan yang menjadi tempat tinggal sementara golongan tersebut. Sehinggalah akhirnya dia bertemu dengan Mike Sallows, yang dulunya juga merupakan seorang gelandangan. Melalui Sallows inilah, Dr. Whiters banyak dibantu bagaimana untuk berhubung, seterusnya mendekati komuniti gelandangan dan para pengemis.

Antara pesanan Sallows yang paling diingati oleh Dr. Whiters - jangan sesekali berpakaian seperti doktor apabila hendak mendekati golongan berkenaan. Ini kerana, mereka tidak suka akan hal itu. Ternyata, kata-kata Sallows itu banyak memudahkan kerja-kerja Dr. Whiters. Dari situlah, beliau mula berpakaian mirip seperti gelandangan.

Sambil membawa beg lusuh berisi alat perubatan, dia bersama rakannya, Sallows pergi ke bawah jambatan, hadapan kedai atau lorong-lorong bangunan untuk menemui golongan tidak mempunyai rumah. Di situ, Dr. Whiters akan memeriksa kesihatan dan melayan mereka sama seperti pesakit lain yang mendapatkan rawatan di hospital.

Kini, sudah 23 tahun beliau mendedikasikan hidupnya untuk melakukan kebajikan tanpa mengira kepentingan diri sendiri. Luar biasa, doktor kepada empat orang anak ini telah merawat lebih 1,200 orang setiap tahun. Dan jika dikirakan sejak mula-mula berkhidmat memberikan rawatan percuma kepada golongan miskin pada tahun 1992, beliau telah mengubati lebih daripada 26,400 orang pesakit.

Berkat usahanya itu, Dr. Whiters telah menubuhkan Operation Safety Net, yang juga merupakan sebahagian dari Pittsburgh Mercy Health System. Menggagumkan hari ini, lebih dari 90 buah negara telah menerapkan hal serupa bagi membela nasib dan mengembangkan tahap kesihatan 'jalanan'.

Mulia sungguh hatinya. Moga keprihtinan, keikhlasan, kesungguhan dan kebaikan hati beliau menjadi inspirasi buat ramai doktor di dunia, terutamanya di Malaysia.





Dr. Jim Whiters. Doktor jalanan yang aku respek.





Selain bertugas sebagai doktor di hospital siang hari, malamnya Dr. Whiters sanggup bergelandangan semata-mata merawat para gelandangan.

Sumber: Majalah INFINITI, Isu 71.


:: Moga Tuhan menerima amal muliamu, doktor jalanan. Adakah bakal para intelektualis (mahasiswa pelbagai bidang) berfikir bagaimana mahu berkhidmat kepada marhaen tanpa apa-apa ganjaran dunia? Dan masih ada harapankah lagi untuk para intelektualis ini sedarkan diri dari bekerja kutip gaji buta dan seterusnya sanggup turun padang demi marhaen? Hanya masa menentukannya. ::

No comments:

Post a Comment