"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Friday 12 September 2014

BUMI 2120: EPISODE 5, BATU SEDNIAN



10.00 am, 21 JANUARI 2120.

“Alhamdulillah! Akhirnya ia berhasil!”

Teriak seorang saintis di makmalnya. Suaranya kedengaran ke luar pintu makmal bagi para saintis lain yang berlegar.

Suasana makmal gergasi di Bandar Troitsky, 37 kilometer dari Moscow Tengah yang menempatkan saintis-saintis tempatan dan luar negara agak lenggang kerana sibuk melakukan penyelidikan, semata-mata mahu mencari titik lemah kerajaan Pyramid.

Rusia sekarang umpama padang jarak padang terkukur. Namun ada beberapa bandar masih selamat dari serangan kerajaan Pyramid biarpun lebih 50 peratus kerosakan melanda, termasuk Moscow. Populasi penduduk hanya 50 peratus saja tinggal dari bilangan asal. Yang wujud hanyalah beberapa keluarga yang terselamat dan askar ESIG yang cedera parah. Ada yang menjadi tahanan Kerajaan Pyramid. Apa yang kerajaan Rusia mampu selamatkan, bandar-bandar utama yang hampir musnah dan juga warganegara yang bebas melarikan diri dari tahanan Kerajaan Pyramid.

Hanya Rusia boleh diharapkan oleh pihak Keamanan Dunia setelah Kerajaan Pyramid menguasai Washington serta bangunan-bangunan penting Amerika Syarikat. Amerika Syarikat jadi lebur. Harapan dunia terletak di tangan Rusia. Agar dunia mampu mengusir anasir asing dengan kuasa penuh.

“Tup… Tup… Tup…”

Kedengaran hentak kaki yang melulu seperti berlari anak menuju ke bilik makmal sahabat sekerjanya setelah terdengar jeritan dari bilik tersebut.

“Jabri, apa yang berlaku? Sudah jumpa sesuatu?” Tanya saintis yang berlari itu.

“Bukan setakat jumpa, aku dapat hasilkan sesuatu yang mampu merubah sejarah dunia!” Gembira hati Professor Jabri.

“Sesuatu yang mampu merubah sejarah dunia?”

“Ya! Kamu mesti tidak percaya apa yang aku hasilkan, Carl!”

Professor Jabri, berketurunan Muslim Kazakhstan, menarik sahabat sekerjanya pergi ke sudut kanan meja kajiannya. Dia mempamerkan batu Kristal yang cantik kilauannya, kuning keemasan bak emas tulen,  berupa duri yang menajam.

“Batu ini, aku tahu kelebihan sebenarnya! Tiadalah kemisterian batu ini yang tak mampu kita ungkapkan.”

“Batu Sednian ini?” Professor Carl kepelikan.

“Ya! Batu inilah. Batu inilah yang akan mengubah nasib kita semua!”

Makin pelik Professor Carl dibuatnya. Batu Sednian itu sebenarnya bahan mineral yang misteri fungsinya. Batu tersebut dijumpai 3 tahun oleh mesin penggali Amerika Syarikat. Disebabkan batu itu ditemui dari hasil galian di planet kerdil Sedna, planet yang jauh mengorbit Matahari, batu itu terus digelar sebagai  batu Sednian. Tiada apa-apa fungsi selain membawa sampel batu itu dan menjadi rekod utama Amerika Syarikat mengenai planet Sedna.

Namun, perkara itu tidak mengecewakan para saintis Amerika Syarikat. Mereka terus mengkaji sampel batu Sednian itu secara sulit. Pengkajian sulit ini dilakukan setelah para saintis itu mengetahui elemen-elemen utama sampel itu. Selain elemen bumi, terdapat juga beberapa elemen asing yang mana elemen asing itu mampu memancarkan cahaya sendiri, bukan hasil pantulan dari cahaya Matahari. Pengkajian sulit terhadap batu Sednian ini digelar sebagai Projek Sedna.

Kajian demi kajian, sehingga Kerajaan Pyramid menceroboh dan menakluk Bumi, Projek Sedna  kemudian diberikan kepada wakil saintis dari Rusia agar segala rahsia Amerika Syarikat tidak diceroboh sepenuhnya apabila Amerika Syarikat telah ditawan oleh anasir asing dengan cara menukarkan nama projek sulit ini dari Projek Sedna kepada Projek Gold Matter.

Projek Gold Matter diteruskan oleh satu pasukan saintis sulit seluruh dunia, termasuk Professor Jabri Syed Ahmed dan sahabatnya, Professor Tzulov Carl, saintis Rusia berbangsa Scandinavia.

“Ok.. Ini aku tak percaya! Sekian lama kita mencari solusi sebenar dalam pengkajian batu asing, dan kamu… Kamu menyelesaikan misteri ini?”

“Cuba kamu buktikan apa yang kamu hasilkan dari batu itu.” Professor Carl mahu kepastian dari sahabatnya.

“Hahaha~ Baiklah. Kita sudah sedia maklum kan yang batu ini mampu hasilkan cahayanya sendiri?” Professor Jabri memberikan persoalan.

“Ya..” Jawab Professor Carl teragak-agak.

“Kamu tengok betul-betul apa aku lakukan nanti. Pakai gogel ini.” Professor Carl mencapai gogel di tangan Professor Jabri dan memakainya. Professor Jabri melakukan hal yang sama.

Professor Jabri meletakkan sampel batu Sednian itu diantara kedua-dua antena. Kedua-dua antena itu adalah antena dari mesin pengecas elektrik, yang berfungsi sebagai ‘generator’ kecil. Kemudian dia menghidupkan mesin pengecas. Sejumlah 100 Voltan elektrik mengalir menembusi sampel batu itu. Tiada apa-apa berlaku. Dia seterusnya meningkatkan voltan elektrik.

200 Voltan.

Tiada apa-apa lagi.

300 Voltan.

Keputusan sama.

400 Voltan.

Mulai memancarkan cahayanya.

500 Voltan.

Cahaya sampel batu itu bersinar dengan kuat.

600 Voltan.

Sinaran makin kuat. Menyinari seluruh bilik makmal.

700 Voltan.

Vuuuuuummmm….

Cahaya batu itu menuju ke satu garis yang lurus dan membentuk suatu lingkaran sebesar 15 meter jejari. Dalam lingkaran itu wujud suatu bayangan tidak jelas. Seakan-akan muncul bayangan padang pasir. Fenomena ini memeranjatkan Professor Carl, sebaliknya Professor Jabri tersenyum riang. Senyum tidak berkata apa-apa.

“Takkanlah ini…. Pintu portal?”

“Ya! Pintu portal! Inilah keistimewaan batu Sednian selama ini!”

“Tak mungkin… Tak mungkin… Aku percaya teknologi kuasa kuantum mampu melakukan teleportasi. Tapi ini…” Professor Carl masih tidak percaya kejadian itu.

“Percayalah! Sekarang ia berada di depan matamu! Kita telah memecahkan teka-teki yang selama ini membuntukan pemikiran kita! Kita telah menemuinya!” Pujuk Professor Jabri. Dia harus menyakinkan sahabatnya bahawa teka-teki kemisterian batu Sednian telah berakhir.

Professor Carl menarik nafas. Secara mendalam. Perlahan-lahan.

“Baik! Bukti di depan mataku. Aku mesti percaya apa yang kamu lakukan. Ya! Akhirnya kita selesaikan projek kita. Tahniah, Jabri! So, let’s tell this awesome news!

“Jom!”


Mereka berdua terus beredar ke bilik ketua penyelidikan. Dengan membawa berita yang akan merubah nasib tamadun manusia.

                                                                         **********

6.00 pm, 21 JANUARI 2120.

Trondheim, Norway. Bandar di persisiran pantai barat laut Norway menghadap Laut Norwegian. Pertempuran kecil berlaku antara angkatan laut ESIG dan tembok pertahanan milik penjajah Kerajaan Pyramid yang mempertahankan Bandar Trondheim. Misil kedua-dua pihak berlancaran antara satu sama lain. Masing-masing memgebom angkatan-angkatan yang cuba melakukan serangan dan membedil segala infrastruktur-infrastruktur di bandar malang itu. Pelancaran misil-msil tersebut menyebabkan tiada aktiviti udara berlaku di langit nan biru itu.

Kelibat sebuah helikopter Kamov Ka-32A, helikopter penumpang milik Rusia berada di langit Trondheim. Kelibat helikopter ini tiada dalam radar kedua-dua pihak yang sedang melakukan serangan misil bertubi-tubi kerana helikopter ini mengaktifkan mod halimunan, secara automatik mencacatkan pengesahan radar di udara.

Mengapa helikopter ini memberanikan diri untuk melintasi zon tempur ini, seakan-akan mahu meninggalkan jasad di Bandar Trondheim?

“Delta 12…”

“Delta 12… Sila nyatakan keberadaan anda sekarang…” Perintah seorang pengemudi udara ESIG Rusia.
“Delta 12 di sini… Kami berada di zon pertempuran Bandar Trondheim…” Balas pengemudi helicopter penumpang.

Di dalam helikopter penumpang terdiri daripada 2 orang penting. Sangat penting bagi ESIG. Selain pengemudi helikopter, terdapat 2 orang saintis Rusia yang teramat penting, mereka ini pengkaji dari Projek Gold Matter. Siapa lagi kalau bukan Professor Jabri dan Professor Carl.

“Tak sangka Projek Gold Matter ini Berjaya diselesaikan.” Kata Professor Carl. Terasa lapang di dadanya.

“Ya. Alhamdulillah… Berkat usaha kita bersama.” Sambut Professor Jabri.

“Bukan. Kejayaan kamulah yang memberikan peluang keemasan kepada dunia sekali lagi untuk mengusir Kerajaan Pyramid.” Professor Carl menggalakkan Professor Jabri.

“Ada benarnya, Carl. Moga Tuhan memberkati usaha kita menyelamatkan bumi ini.”
“Ya. Moga Dia berkati.” Mereka berdua tersenyum lebar.

Sebelum mereka berangkat ke pangkalan utama ESIG di Greenland, mereka telah mengkhabarkan ketua penyelidikan Projek Gold Matter mengenai keputusan kajian yang mengejutkan itu. Dia terkejut akan kehadiran pintu portal disebalik cahaya batu Sednian.

“Ini suatu yang mengejutkan! Kita boleh memanfaatkan tenaga dari batu asing ini untuk memusnahkan empayar musuh tanpa menggunakan tenaga elektromagnet dan kuasa kuantum sebagai alat teleportasi yang terhad sumbernya! Kita harus khabarkan kepada pangkalan ESIG Rusia!”

Itulah kata-kata yang terluah dari mulut ketua penyelidikan itu. Tanpa sebarang keraguan, mereka bersetuju dan mereka bertiga berserta beberapa ahli saintis Projek Gold Matter pergi ke pangkalan ESIG Rusia di Moscow Tengah.

“Akhirnya, dari projek ini kamu semua telah menciptakan satu alat peperangan yang penting untuk memusnahkan empayar musuh.” Respon Komander ESIG Rusia setelah mendapat laporan dari pihak saintis Rusia.

“Saya nak, ketua dan seorang lagi saintis menjadi wakil projek Gold Matter pergi melaporkan berita terbaru ini di pangkalan utama ESIG.” Perintah komander itu.

“Tuan! Izinkan saya ikut sekali dengan ketua untuk melaporkan berita ini. Sayalah yang bertanggungjawab atas penemuan penting ini.” Celah Professor Jabri. Dia merasakan suatu tanggungjawab baru dipikulnya kerana atas dasar penemuannya itu.

“Saya pun mahu ikut sekali, Tuan! Saya sebagai saksi pertama atas penemuan ini.” Kelibat Professor Carl bersuara.

“Hmm… Tetapi saya mahu 2 orang wakil saja yang pergi melaporkan hal ini.”
Ketua projek Gold Matter bersuara.

“Tak apa Tuan. Kecualikan saya dari menjadi wakil projek ini. Saya berbangga akan kedua-dua anak buah saya ini. Mereka memberanikan diri untuk melaporkan berita yang bakal mengubah sejarah dunia ini. Mereka tahu bahawa tanggungjawab ini telah mereka pikul selepas penemuan ini.”

Kemudian, dia mengingatkan kepada anak buahnya.

“Kita mesti faham suatu perkara. Perkara yang penting sebagai manusia yang sentiasa berkhidmat kepada Tuhan tidak kira kita siapa. Sejarah ada merekodkan, telah berlaku peperangan antara tentera Islam dengan tentera Mekah Quraisy.”

Ketua penyelidikan menyambung lagi.

“Sepanjang peperangan tersebut, ada suatu kelainan bagi tentera Islam sendiri. Membuatkan tentera Mekah Quraisy merasa gerun. Gerun yang teruk. Sehinggakan kesemua tentera Islam tidak takut akan kematian mereka. Apakah kelainan itu?”

Semuanya diam. Termasuk komander ESIG Rusia dan tentera yang berkawal di bilik pejabat komander. Komander itu hanya tunduk saja. Tanpa patah kata.

“Itu adalah jihad! Kelainan itu adalah jihad! Jihad itulah membuatkan tentera Islam tidak gentar akan kematian. Jihad tidak tertumpu kepada melindungi agama saja, jihad juga adalah semangat yang mampu melindungi hak mutlak kita dari dicemari, dengan menentang suatu kemungkaran tanpa kenal kematian.”

“Dengan keadaan kita sekarang ini, dengan wujudnya zaman kesengsaraan ini, jangan lupa semangat jihad ini. Bukan saja ia mewujudkan suatu ikatan yang kukuh antara kita semua, yang berlainan latar belakang hanya mempunyai matlamat yang sama, ia juga mewujudkan keteguhan kita yang tinggi lagi dalam misi menyelamatkan dunia kita kian hancur ini! InsyaAllah dengan semangat ini, Tuhan membantu kerjuangan kita dan pasti Dia memberikan kemenangan kepada kita semua!”

“Perlu ingat semangat tu, rakan-rakan seperjuangan!”

Tamat kata-kata semangat dari ketua penyelidikan. Kata-kata yang terluah dari mulutnya memberkas hati seluruh insan yang mendengarinya. Semuanya mengerti mengapa mereka mesti berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang masing-masing. Tidak kira dari bidang penyelidikan atau bidang ketenteraan. Mereka mengerti bahawa apa yang mereka lakukan hanyalah, mahu menghalau penjajah-penjajah dari mencabuli kehidupan manusia di bumi milik Tuahn, yang Maha Esa.

“Tuan, maaf kerana mengambil masa yang lama untuk memperingati anak-anak buah saya. Sekarang Professor Jabri dan Professor Carl mengambil tugas ini. Mereka lebih layak menerimanya. Tuan lakukan tugasan seterusnya.” Ketua penyelidikan memohon maaf kepada komander.

“Ow… Tidak apa. Sungguh berkesan kata-katamu, Professor Mikail. Ia mampu membangkitkan semangat kami lagi untuk melindungi masyarakat kita dari ancaman musuh.” Kata komander. Dia akui keberkesanan kata-kata dari Professor Mikail.

“Sarjan! Sediakan sebuah helikopter penumpang. Pastikan segala persiapan selesai! Kita akan menghantar laporan keemasan ini kepada pangkalan utama.” Perintah komander.

                                                                         **********

“Prof…”

“Ya tuan. Ada apa?” Tanya Professor Jabri.

“Sekarang kita berada dalam zon pertempuran antara angkatan laut ESIG dan penjajah Kerajaan Pyramid.
Komander ESIG Rusia memberitahu kehadiran kita terhadap angkatan laut itu.” Pengemudi helikopter memberitahu situasi.

“Apa respon angkatan laut?”

“Mereka akan hentikan pelancaran misil selama 10 saat. Hanya 10 saat saja. Jadi kita mesti memecut sepantas mungkin selama tempoh tersebut sehingga kita berada di zon angkata laut ESIG tanpa dikesan oleh pihak musuh.”

“Baiklah. Jika tiada pilihan lain.” Respon Professor Jabri.

“Memandangkan prof terima, sila pakai tali pinggang keledar segera. Mereka akan mulakan hentikan tidak lama lagi.” Perintah pengemudi helikopter.

Misil terakhir dari angkatan laut ESIG dilancarkan.

Booooooommmmm!!

Hentian selama 10 saat bermula.

Pecutan awal dari helikopter penumpang dimulai.

Dengan bunyi yang kuat dari pelepasan misil dari Kerajan Pyramid, yang memecahkan keadaan langit menyebabkan bunyi pecutan helikopter itu tidak kedengaran. Peluang baik bagi memecut.

Dengan jangka masa yang singkat, tidak mungkin helikopter itu mampu mencapai ke zon angkatan laut ESIG. Kelajuan pula tidak seperti helikopter perang lain. Faktor-faktor ini merisaukan pengemudi helikopter namun berkat tawakal yang tinggi, mereka mengharapkan tindakan maut ini berjaya dilakukan.

10 saat…

9 saat…

Helikopter berada di zon pertahanan musuh.

8 saat…

7 saat…

6 saat…

Helikopter berapa di zon tembok musuh. Hampir melepasi sempadan pertempuran.

5 saat…

4 saat…

Bzzzzzzzzzzz~~~

Berlaku renjatan elektrik pada helikopter.

“Tuan! Apa yang berlaku??” Professor Carl risau. Suasana menjadi kelam kabut.

“Tidak tahu prof! Berlaku litar pintas pada helikopter ini!!”

“Hahh??”

Secara mengejut, objek seperti bola muncul di tepi sebelah kiri helikopter. Melayang ke bahagian pemandu.

“Druid!! Tunduk bawah!!”

Bzzzzzzzzzzz~~~

Druid berbentuk bola sepak itu meletak dan melakukan renjatan ke atas kawalan pemanduan helikopter. Pengemudi helikopter tidak boleh mengendali kembali kerana renjatan yang kuat itu.

Mod halimunan helikopter penumpang mulai tiada fungsi. Terlihat kondisi helikopter yang tenat itu oleh kapten angkatan laut ESIG yang berada di kapal laut perang.

“Ahh!! Mereka telah mengesan kehadiran helikopter itu! Batalkan perhentian! Teruskan menembak misil!” Perintah kapten dengan laungan kuat.

“Jangan biarkan mereka mendapatkan helikopter itu!!”

Pelancaran misil oleh angkatan laut ESIG bermula. Mereka mesti menghalang Kerajaan Pyramid merampas helikopter itu.

Keadaan helikopter tidak menentu. Melakukan pusingan 360 darjah ke kanan. Tiga penumpang penting berada dalam keadaan huyung-hayang.

“Prof!! Ada sebuah beg terjun di belakang tempat duduk penumpang. Kamu berdua guna beg itu!!” Arah pengemudi helikopter.

“Kamu??” Tanya Professor Jabri.

“Saya akan sedaya upaya kendalikan helikopter ini ke arah laut!! Pergi!!”

“Baik! Carl… Mari kita terjun!”

Selesai Professor Jabri membawa beg itu, dia ditolak keluar.

Professor Jabri terkejut. Dia sempat menoleh belakang setelah ditolak oleh seseorang.

Terpandang Professor Carl.

Ya. Professor Carl menolaknya dengan gaya tangannya seolah-olah menolak sahabat baiknya.

“Caaaaaaaarrrrlll!!!!!!!”

“Kamulah harapan kita!! Kamu sajalah mampu mengubah dunia ini Jabri!!” Teriak Professor Carl.

Professor Jabri tersentak.

Professor Carl tersenyum. Lebih manis.

Helikopter yang ligat berpusing tanpa henti telah meninggalkan Professor Jabri.

Terlihat helikopter itu memang menghala ke laut.

Booooooommmmmm!!!!

Berkecai hingga cebis-cebisan helikopter itu.

Kaku. Professor Jabri merelakan dirinya terjun.

Menghala ke pinggir pantai.

No comments:

Post a Comment