"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Monday 1 September 2014

Malaya: Dari 'Cereberum' Aku



Bismillahirohmanirrahim.

Berkat 'gilanya' aku mentelaah pasal negara strategik ini, telah merdekanya selama 57 tahun, itu aku dapat setelah terkopeknya kepala otak aku.

Dahulu Malaya pernah digelar sebagai 'Semenanjung Emas' bagi kedua-dua alam Barat kuno (Yunani & Rom) dan alam Timur kuno (Parsi dan Mesir kuno) serta alam Timur terasing (India dan China). Masa itu Malaya hanyalah tanah dara dengan perkampungan-perkampungan tepi pantai di mana penghuninya digelar 'Orang Laut'. Kerajaan yang terdiri pada masa kuno itu hanya bertapak dari Pattani hinggalah ke Lembah Bujang.

Berkat usaha Parameswara melarikan diri dari Palembang, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sah ditubuhkan selepas menjadi raja Temasik. Masa itu berlonggoklah pedagang-pedanag berketurunan Arab menebar di Melaka dan taklukannya yang merangkumi sebahagian Tanah Melayu dan Sumatra. Betapa mewahnya Melaka pada zaman itu. Pedagangan yang menjadi nadi Melaka tersebut menjadikan Tanah Melayu dan sekitarnya merangkumi Pattani dan Sumatra hingga ke hujung pulau besar Borneo menjadi tarikan para pedagang dunia dan Bahasa Melayu yang terhasil dari campuran Sanskrit menjadi bahasa linguafranca. Pada zaman itu juga Empayar Islam yang ditadbir pemimpin bergelar khilafah makin meluas. Melaka kena tempiasnya sehingga menjadi kerajaan penyebar ajaran mentauhidkan Tuhan yang esa. Diplomatiknya hubungan Melaka dengan Dinasti China menambahkan 'perisa' agar menjadikan Melaka adalah kerajaan 'terkuat' bila disamping Dinasti China. Dari kerajaan Melakalah lahirnya kerajaan-kerajaan kecil lainnya seperti Pahang dan kerajaan-kerajaan Tanah Melayu utara dulu seperti Terengganu sah milik Melaka.

Ya. Nampak mewah kerajaan Melayu bernama Melaka.

Tahun 1511, penjajah Eropah pertama, Portugis berjaya menawan Melaka kerana atas dasar pengkhianatan dari golongan diraja sendiri. Namun masyarakat kini masih merasakan Melaka lemah dalam pertempuran menyebabkan Melaka mudah jatuh. "Portugis hebat, Melaka mundur." Itulah 'kefalsafahan' yang terdapat dalam otak fikiran masyarakat kini. Dinasti China masa itu ternyata kuat. Setanding Eropah di zaman Renaisance. Dinasti China memang melindungi Melaka bila Melaka menghadapai ancaman-ancaman luar berdasarkan hubungan diplomatik. Namun 'penyelewengan' itu tetap melekat dalam pemikiran masyarakat kini.  "Portugis hebat, Melaka mundur."

Berkat sekali lagi, Sultan Mahmud Shah, pemerintah Kesultanan Melaka terakhir melarikan diri ke Johor, anaknya Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor-Riau. Kerajaan Kesultanan Johor-Riau yang sebelumnya adalah taklukan Melaka, mewahnya hampir setanding Melaka tetapi kekuatan Johor-Riau belum mampu kuat kerana kehadiran Portugis di Melaka mampu menghidu kemewahan kerajaan luar dan kehadiran Belanda di Sumatra dan Jawa yang mempu menggugat Kesultanan Johor-Riau akan datang.

Setelah beberapa lama tahun Renaisance di Eropah, British pula menjadi 'harimau dalam semak, berstrategi menerkam rusa'. Bermulanya di Kedah, dengan samaran sebagai SHTI (Syarikat Hindia Timur Inggeris), Kedah dan SHTI berpegang janji pada 1786 agar Kedah dapat menghalau Siam, SHTI (Francis Light) mendapat Pulau Pinang. Pembelotan SHTI terhadap perjanjian mengakibatkan Sultan Kedah kehilangan Pulau Pinang dan Seberang Prai dan kemudian menandatangani perjanjian kedamaian kepada SHTI.

Atas dasar perjanjian damai, taktik kotor British atas konsep impelialisme dan kolonialisme, dari Kedah hinggalah Johor yang masa itu milik Bugis, sah milik British keseluruhan Tanah Melayu tanpa Pattani kerana menjadi milikan Siam. Maka Tanah Melayu Terbahagi kepada 3 negeri, iaitu:

1) Negeri-negeri Melayu Bersekutu: Pahang, Perak, Selangor & Negeri Sembilan.
2) Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu: Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu & Johor.
3) Negeri-negeri Selat: P.Pinang, Melaka & Singapura (Temasik).

Manakala Borneo:

Sarawak, dulunya kerajaan Kesultanan Brunei yang menjadi jajahan Dinasti Brooke (berketurunan British) yang bergelar 'Raja Putih' selama 100 tahun.

BORNEO UTARA (Sabah), dulunya kerajaan Sulu yang menjadi milik SBUB (Syarikat Borneo Utara British) kerana Sultan Sulu menggadaikan Sabah kepada SBUB.




Hasil pemerintahan British (sebut penjajahan British) terhadap Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, proses memajmukkan masyarakat Tanah Melayu semakin pesat. Dimulai pengambilan buruh dari China dan India hinggalah membahagikan sektor pekerjaan melalui pembahagian kaum. Dan juga para penduduk setiap negeri di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga tidak berpuas hati terhadap pemerintahan British yang dianggap 'korup', menyusahkan penduduk asal kerana mencampuri urusan negeri.

Maka para pejuang seperti Dato' Bahaman, Tok Janggut, Rentap, Haji Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Dato' Maharajalela, Sharif Mashor dan yang lain mencipta sejarah dengan menyerang British semata-mata mengembalikan hak tanah mereka dari pemerintahan Birtish umpama tumbuhi kulat buruk di atas dahan pokok. Namun perjuangan tokoh-tokoh tersebut hanyalah bersifat kenegerian . Hanya mahukan kebebebasan tanah atau negeri masing-masing dari British pada masa itu British adalah kuasa besar dalam penjajahan ke Timur Jauh selain Belanda dan Sepanyol. Seperti:

1) Dol Said, membebaskan Naning dari cengkaman British kerana Dol Said tidak mahu membayar cukai tanaman atas sebab Naning bukan sebahagian dari Melaka.

2) Dato' Bahaman, pejuang Pahang menentang British kerana mencampuri urusan tadbir Pahang.

3) Haji Abdul Rahman Limbong, seorang ulama yang juga pejuang Terengganu. Menentang British kerana mencampuri urusan tanah rakyat dan menerapkan unsur anti-Islam kepada golongan atasan serta rakyat.

4) Dato' Maharajalela, pejuang Perak menentang British dengan cara membuat pakatan untuk membunuh J.W.W. Birch, Residen British di Perak.

Biarpun British mampu hapuskan ancaman-ancaman dari setiap negeri yang berupa pemberontakkan pejuang Melayu, namun semangat kenegerian para pejuang tidak pernah pudar dalam ingatan masyarakat Melayu pada masa itu. Biarpun Melayu tumbang dalam kuasa asing yang menjajah, mereka percaya bahawa suatu hari nanti, Tanah Melayu pasti akan bebas dari cengkaman dari kuasa asing.

Pengharapan Melayu semakin cerah pabila tibanya Perang Dunia Kedua. Jepun mulai meluaskan jajahannya setelah mendapat perintah Maharaja Meiji untuk meluaskan empayar Jepun menjadikan Jepun sebagai kuasa besar baharu. Dengan slogan "Asia untuk Asia", masyarakat Tanah Melayu khususnya kaum Melayu terpengaruh agenda 'muka' Jepun. Pada 8 Disember 1941, dengan mempercayai Jepun juga adalah 'adik-beradik' Tanah Melayu, masyarakat Melayu membuka 'pagar' kepada Jepun untuk menyerang Tanah Melayu dari utara dan selatan Tanah Melayu agar British segera diusir keluar dari memerintah Tanah Melayu.

British berundur seketika. Jepun memenangi pertempuran itu. Betapa gembiranya masyarakat Tanah Melayu ketika itu. Namun hanya sementara. Jepun melayan Tanah Melayu amat teruk. Bukan saja terapkan kebudayaan Jepun dalam kalangan masyarakat Tanah Melayu, malah sampai tahap menyeksa dengan zalimnya tentera Jepun terhadap masyarakat Tanah Melayu. Kaum Cina paling banyak ditindas oleh tentera Jepun kerana kebencian tentera Jepun yang amat terhadap kaum Cina. Sehinggakan kebanyakan kaum Cina menyertai pasukan Malayan Peoples Anti Japan Army (MPAJA) yang bersifat komunis untuk menyerang balas tindakan tentera Jepun. Mereka (Jepun) melupakan saja slogan yang dibangkit-bangkitkan mereka sendiri yang bermotifkan pembelaan terhadap Asia. Mereka hanya tahu menjadikan Jepun sebagai kuasa besar dunia yang baru.

 Tiga tahun berlalu, dengan pengeboman Nagasaki dan Hiroshima oleh Amerika Syarikat, Jepun menyerah kalah. Tanah Melayu tidak lagi dijajah oleh Jepun. Namun Tanah Melayu 'kosong' tanpa diperintah selama 2 minggu. Selama tempoh itulah tentera-tentera gerila MPAJA keluar dari bersembunyi dan mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu. Selama 14 hari, tentera MPAJA yang komunis banyak menindas kaum Melayu kerana pada ketika Perang Dunia Kedua kaum Melayu banyak menyertai Jepun. Mereka ingin menebus balik apa yang tentera Jepun telah lakukan terhadap mereka.

Namun, malang bagi MPAJA, British segera menamatkan kekecohkan tersebut melalui pemerintahan ketenteraan (BMA). MPAJA tidak mampu meluaskan pengaruh komunis di Tanah Melayu dan sekaligus membubarkan MPAJA.

British kembali memerintah Tanah Melayu. Tetapi perjuangan anak-anak Tanah Melayu tidak terhenti di situ. Tibalah masa para intelektual yang lama menguasai ilmu di luar negara bertindak membebaskan Tanah Melayu.


Setelah melalui perjuangan kenegerian dan perjuangan yang 'membuta' bersama kuasa asing, seterusnya para ahli intelektual pula bertindak membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman British. Aku mensifatkan tindakan para ahli intelektual ini sebagai langkah yang profesional tanpa mengangkat senjata. Cukup pen dan kertas sebagai senjata bagi memberikan suntikan nasionalisma dalam kalangan masyarakat Tanah Melayu dan juga rundingan demi rundingan bagi membentuk perjanjian kebebasan Tanah Melayu.

Media Tanah Melayu adalah medium pertama untuk menyebarkan semangat nasionalisma dalam kalangan masyarakat Tanah Melayu khususnya akhbar-akhbar tempatan. Seperti:

1) Al-Iman
2) Neracha
3) Warta Malaya
4) Al-Ikhwan
5) Saudara

Tidak kurang juga ada beberapa tokoh sastera dan intelektual terlibat sama dalam memberikan semangat nasionalisma melalui penulisan. Seperti:

1) Zainal Abidin Ahmad (Za'ba)
2) Harun Muhammad Amin
3) Abdul Hadi Hasan
4) Burhanuddin Al-Helmi
5) Abdul Rahim Kajai

Berkat usaha Gerakan Pan-Islamisme Sedunia untuk membangkitkan kefahaman Islam untuk menentang penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam, beberapa tokoh-tokoh lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah kembali ke Tanah Melayu turut sama membangkitkan semangat nasionalisma melalui kefahaman Islam kepada masyarakat Tanah Melayu. Seperti:

1) Sheikh Tahir Jalaluddin
2) Syed Sheikh Al-Hadi
3) Sheikh Muhammad Akil
4) Sheikh Awad Saidin
5) Haji Abas Taha

Tindakan ini hanyalah tindakan yang mampu menyuntik semangat nasionalisma kepada pemikiran masyarakat Tanah Melayu agar mampu membuat perubahan besar akan datang dalam menentang penjajahan kuasa asing. Gerakan nasionalisma ini semakin bangkit setelah peristiwa penjajahan Jepun dan pergolakkan MPAJA di bawah tajaan PKM (Parti Komunis Malaya).

Setelah Birtish mengambil alih Tanah Melayu melalui sistem ketenteraan, British membuat keputusan untuk menubuhkan Malayan Union yang mana pemerintahan British terbaru hanya meliputi Tanag Melayu, tidak termasuk Singapura. Tujuan Malayan Union sebenarnya hanya menukarkan status tanah naungan kepada tanah jajahan. Kenyataan British menyatakan Malayan Union ditubuhkan untuk menyediakan masyarakat Tanah Melayu mencapai kemerdekaan hanyalah sandiwara saja. Ini dibuktikan lagi dengan pemaksaan oleh Sir Harold MacMichael kepada Raja-Raja Melayu untuk menandatangani pertubuhan Malayan Union.

Setelah tertubuhnya Malayan Union pada 1 April 1946, m asyarakat Tanah Melayu terutamanya kaum Melayu amat marah dan menentang gagasan Malayan Union yang bersifat neo-kolonisma iaitu pemerintahan kolonial baharu. Berlakunya demonstrasi-demonstrasi dari mana-mana kumpulan gerakan nasionalisma serta masyarakat itu sendiri membantah sekeras-kerasnya. Namun, tindakan itu tidak berapa nampak impaknya terhadap British lagi. Walaupun British terkejut akan tindakan masyarakat Tanah Melayu yang amat berlainan dari sebelumnya yang mana mereka menerima sahaja bulat-bulat apa yang British mahu lakukan tanpa sebarang bantahan, namun tindakan yang hanya melaungkan bantahan dari masyarakat itu tidak menjejaskan proses untuk menubuhkan Malayan Union.

Malang tak berbau bagi British, kaum Melayu makin pintar. Tidak lagi seperti kerbau tertusuk hidung oleh tuannya. Disebabkan pemikiran nasional telah lama abadi dalam kepala otak kaum Melayu, disebabkan 'angin nasional' telah bertiup dari jiran serumpun, Indonesia yang tegar memperjuangkan kebebasan tanah mereka, 1 Mac 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu diadakan di Kelab Sultan Suleiman, Johor bagi merancang hala tuju pembentukan Tanah Melayu baru dan memansuhkan Malayan Union. Akhirnya tertubuhlah satu jawatankuasa bernama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diketuai oleh Dato Onn Jaafar.

Tindakan demi tindakan dari UMNO seperti memulaukan penubuhan Malayan Union, berkabung dan berunding dengan sultan-sultan negeri agar turut serta menentang. Akhirnya British akur akan 'kekebalan' UMNO, seterusnya membatalkan Malayan Union. Bagi menggantikan Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan atas permintaan UMNO.

Dengan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu yang meliputi negeri-negeri Bersekutu dan Tidak Bersekutu. Hanya satu langkah lagi bagi mencapai kebebasan mentadbir sendiri Tanah Melayu, iaitu memerdekakan Tanah Melayu. Ini adalah langkah yang penting dalam sejarah Tanah Melayu. British mesti melepaskan Tanah Melayu 100% kepada masyarakat asal sendiri agar Tanah Melayu kembali diperintah lagi oleh masyarakat sendiri setelah sekian lama dijajah habis-habisan.

Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO seterusnya selepas Dato Onn Jaafar melakukan usaha kemerdekaan tersebut bersama rakan-rakan seperjuangannya. Sebanyak 18 senarai yang dapat diringkaskan dalam kronologi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu:

  1.     Persidangan Malaya Merdeka Di London
  2.     Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
  3.     Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Banda Hilir, Melaka
  4.     Suruhanjaya Perlembagaan REID
  5.     Rombongan Kemerdekaan Pulang Dari London
  6.     Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Pertama
  7.     Pemilihan Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu
  8.     Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Di Tandatangani
  9.     Pengumuman Perlantikan Gabenor Pulau Pinang dan Melaka
  10.     Rang Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan
  11.     Pengumuman Jemaah Kabinet Yang Pertama Selepas Merdeka
  12.     Duke Gloucester, Wakil Baginda Queen Tiba Untuk Upacara Kemerdekaan
  13.     Tunku Abdul Rahman Dikurniakan Gelaran Bapa Kemerdekaan
  14.     Perasmian Stadium Merdeka
  15.     Bendera Union Jack Diturunkan di Melaka
  16.     Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor
  17.     Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu
  18.     Penetapan Tarikh Merdeka Pada 31 Ogos 1957
Inilah penceritaan yang mampu aku luahkan mengenai Tanah Melayu sendiri. Sama ada dari memori kepala otak aku atau pembacaan sejarah, semua aku masukkan.

Pattani dan Temasik (Singapura) ada kisah tersendiri mengapa terpisah dari Tanah Melayu yang sekarang digelar Semenanjung Malaysia. Brunei, Sabah dan Sarawak juga ada kisah-kisah yang unik terutamanya melibatkan gagasan Malaysia. Namun, Tanah Melayu saja aku mampu mengisahkan kerana mahu menyambut kemerdekaan ke-57 melalui penulisan yang tak seberapa bagus ini.

Doakan aku supaya mampu mengisahkan pasal Pattani dan Temasik serta Sarawak, Sabah dan Brunei akan datang.

"Di sini lahirnya sebuah cinta"

No comments:

Post a Comment