"Aku Diberi Amanah Maka Aku Wujud."



Menulis boleh membangkitkan semangat juang.
Menulis boleh meragut jiwa hingga menitis airmata.
Menulis boleh menggugat pemerintahan tirani.
Menulis boleh mengawal minda masyarakat.

Maka, menulis adalah kuasa.
Kuasa merubah dunia.

Sunday 19 June 2016

Falsafah Magic, Melawan Takdir & Trinity Seven


Dalam dunia anime/manga, aku lebih suka genre action + sci-fi, supernatural dan fantasy. Mungkin disebabkan aku layan anime popular terdahulu seperti Dragon Ball hingga ke One Piece, genre action menjadi pilihan utamaku. Tapi falsafah kehidupan yang diserap dalam setiap genre ini tidak menghampakan aku untuk menjadikannya sebagai motivasi terkuat. Ini juga salah satu sebab utama mengapa aku masih teguh dengan anime genre action. Genre seterusnya yang mix dengan action adalah genre terbaik juga bagi aku kerana genre-genre ini mampu menguatkan imaginasi aku sebagai penulis untuk mencipta ‘dunia’ dari kepala otak aku.

Anime/Manga pertama aku bedah kali ini adalah anime versi Harry Potter, Trinity Seven. Mengapa anime ini versi Harry Potter? Dari kaca mata aku, latar penceritaan Harry Potter sama dengan latar penceritaan Trinity Seven, iaitu berlatarkan dunia ahli sihir. Cuma dunia ahli sihir saja menyamakan Harry Potter dengan Trinity Seven. Tak perlu aku buat pertembungan dan perbezaan antara dua kisah fantasy sebab terlalu banyak berbezaannya antara watak utama dan plot penceritaannya.

Trinity Seven adalah manga bersiri berkonsepkan action + supernatural + fantasy + romance oleh Kenji Saito dan diilustrasikan oleh Akinari Nao. Manga ini disirikan dalam majalah Monthly Dragon Age, Fujimi Shobo's sejak 2010 and dikumpulkan dalam 12 jilid. Manakala novel remaja beradaptasi dari manga tersebut diterbitkan oleh  Kadokawa Shoten dengan jilid pertama dikeluarkan pada November 8, 2014. Siri anime diadaptasi oleh Seven Arcs Pictures mula disiarkan pada October 2014. Dalam manga masih ongoing sehingga kini dan dalam anime lengkap 12 episode tetapi belum, ada berita masuk ke musim kedua.


SINOPSIS

Kasuga Arata, remaja 17 tahun hanyalah remaja biasa yang melalui kehidupan sebagai pelajar high school bersama sepupunya, Kasuga Hijiri. Kehidupan Arata berubah setelah dia menyedari bahawa dunia dia tinggal adalah palsu dan telah musnah oleh fenomena Black Sun (secara tidak sengaja dilakukan oleh Arata sendiri) 3 tahun lalu. Hijiri pun menjadi mangsa fenomena tersebut. Dengan bantuan seorang ahli sihir wanita, Asami Lilith, Arata mengambil keputusan untuk menjadi ahli sihir bagi menyelamatkan Hijiri.

Arata kemudian pindah ke Royal Biblia Academy, sekolah elit oleh organisasi terahsia untuk melatih ahli sihir (Magus) dan menyiasat fenomena paranormal yang melibatkan sihir. Arata menjadi perhatian satu sekolah kerana dia dilabel sebagai Magus kelas King (dalam anime dipanggil kelas Lord Demon tetapi aku senang mengikut gelaran dari manga, kelas King Mage) setelah memberitahu tentang dunia palsu dia cipta sendiri.

Pengetua yang mengetahui kehadiran Arata membenarkan dia belajar di sekolah elit ini. Bagi membantu Arata menjadi Magus terkuat demi menyelamatkan Hijiri, Pengetua memberitahu Arata bahawa dia perlu dibantu oleh Trinity Seven, 7 orang ahli sihir wanita terkuat di academy dengan bidang masing-masing. Lilith yang membantu Arata, juga salah satu ahli Trinity Seven.


TERMA-TERMA MAGIC

Sebelum memahami lebih dalam plot penceritaan Trinity Seven ini, kita perlu memahami terma-terma yang pengkarya ini sampaikan. Aku tengok berkali-kali anime ini walaupun telah memahami jalan ceritanya semata-mata mahu memahami terma-terma tersebut, supaya apa yang pengkarya sampaikan kita dapat terima dengan baik.

Untuk manusia itu menjadi seorang Magus, dia mestilah mempunyai gremoire (buku sihir) sendiri (seperti filem Harry Potter, ahli sihir perlukan wand, tongkat sihir). Dan bagi mengaktifkan gremoire, ahli sihir perlu mencari Thema, kuasa yang berlawanan dengan sifat asal seseorang, yang ahli sihir mengkaji untuk melakukan sihir. Jalan pendek mendapat Thema melalui Archive, dosa maut manusia (boleh katakan kuasa dalaman seseorang).

Ada 7 Dosa Maut Manusia (7 Deadly Sins) atau Archive sebagai jalan singkat untuk ahli sihir mendapat Thema sendiri:

1. Luxuria (Lust = Nafsu berahi). Dosa keinginan seks yang kuat. Mana-mana bentuk fizikal yang menggodakanmembawa dosa maut ini.

2. Gula (Gluttony = Rakus). Dosa kerakusan terhadap makanan/sesuatu keinginan yang berlebihan.

3. Avaritia (Greed = Tamak). Dosa ketamakan terhadap harta/sesuatu keinginan yang hanya dirinya saja berhak miliki.

4. Acedia (Sloth = Malas). Kemalasan, ketidakpedulian, pengabaian dan kegagalan termasuk dalam Dosa Acedia.

5. Ira (Wrath = Amarah). Dosa kemarahan tidak terkawal, kebencian melampau dan kedendaman tiada kesudahan.

6. Invidia (Envy = Cemburu). Dosa cemburu kuat terhadap sesuatu yang tidak mampu dimiliki.

7. Superbia (Pride = Harga diri). Dosa maut paling teratas dari ketujuh-tujuh Dosa Maut Manusia. Kesombongan, kebanggaan, pentingkan diri, penguasaan dan pengawalan adalah asas kepada dosa Superbia.

Trinity Seven juga masing-masing pakar dalam Archive mereka dan Magus kelas King perlu menguasai ketujuh-tujuh Archive untuk mencapai status King Mage tetapi komplikasinya adalah sifat manusianya akan hilang dan menjadi raja yang berkuasa memusnahkan dunia.


KARAKTER & PERSONALITI

Kasuga Arata



Umur & Jantina: 17, Lelaki

Posisi:
1. Magus kelas King
2. King Mage of Superbia (Pencetus fenomena Black Sun)

Archive: Superbia

Thema: Impel (Kawal). Berupaya menyalin sihir seseorang.

Magic: Stark Naked Magic. Berupaya membatalkan sihir seseorang.

Perwatakan tenang walaupun menghadapi situasi berbahaya dan sentiasa bergurau dengan lawak seksnya, itulah sifat pada watak protagonist Trinity Seven. Dialah remaja yang bertanggungjawab wujudkan fenomena paranormal (Breakdown Phenomenon) iaitu Black Sun, fenomena menyerap segala hidupan yang menyebabkan sepupunya, Hijiri hilang. Arata kemudian bersekolah di Royal Biblia Academy dan bersahabat dengan Trinity Seven bagi membantunya menjadi ahli sihir terkuat.


Kasuga Hijiri


Umur & Jantina: 16, Perempuan

Posisi:
1. Magus (sebelum ‘ditelan’ Black Sun)
2. Magus kelas King
3. Ahli Iscariot di Royal Liber Academy

Archive: Ira

Thema:
1. Ruina (Kemusnahan)
2. Partum (Kelahiran)
3. Analysis (Pembongkaran)

Magic: Chaotic Rune. Sihir pemusnah dan mereka sihir pendinding.

Menyamar sebagai supupu Arata, dia adalah ahli sihir yang bertugas menjaga Arata sebelum hilang dari fenomena Black Sun. Kemudian, Hijiri ‘dilahirkan semula’ sebagai ahli sihir kelas King dan ahli Iscariot, organisasi dengan misi memusnahkan kitaran hidup King Mage dan Trinity Seven, yang melengkapkan kitaran memusnahkan dunia dan mencipta dunia baru. Walaupun akhirnya Arata dan Hijiri bermusuh, tetapi Hijiri tetap menyayangi Arata seterusnya membantu Arata dengan menghancurkan dunia yang menetap takdir Arata dan kemudian mencipta dunia baru. Perwatakannya adalah remaja yang ceria, sanggup berbuat apa saja demi matlamatnya, dan setia akan seseorang yang rapat dengannya.


Asami Lilith



Umur & Jantina: 17, Perempuan

Posisi:
1. Magus kelas King
2. Guru di Royal Biblia Academy
3. Ahli Trinity Seven

Archive: Luxuria

Thema: Abies (Kehidupan)

Magic: Outer Alchemic, material-kan sihir kepada dua bentuk senjata: pistol untuk serangan jarak dekat dan senapang anti-tank untuk serangan jarak jauh.

Lilith pernah menyiasat fenomena paranormal yang berlaku di dunia Arata dan disitulah Arata menemui Lilith. Dari Lilith-lah Arata bersekolah di sekolah elit itu dan menjadi sahabat pertama Arata. Walaupun Archive-nya Luxuria, perwatakannya sangat pemalu, lemah lembut, bertanggungjawab, sentiasa diusik Arata dengan lawak seks secara indirect mengenai dirinya, dan sahabat yang sentiasa membantu dan memberi sokongan terutamanya Arata.


Kannazuki Arin



Umur & Jantina: 16, Perempuan

Posisi:
1. Magus
2. Ahli Trinity Seven

Archive: Ira

Thema:
1. Ruina (Kemusnahan)
2. Partum (Kelahiran)
3. Victoria (Kemenangan)

Magic: Chaotic Rune. Bersenjatakan Demon Spear Gae Blug.

Tubuh fizikalnya mirip Hijiri, membuatkan Arata mengingat kembali sepupu kesayangannya. Personaliti ahli sihir wanita ini sangat tebal muka, tiada perasaan, tidak malu dan tidak menyesal akan tindakannya bila berdepan dengan Arata. Kali pertama mereka bertemu di bilik mandi lelaki, di mana Arin sedang mandi. Arin menjadi sahabat ketiga Arata dengan mengaku sebagai ‘isteri’ ahli sihir kelas King. Walaupun Archive-nya Ira, Arin tidak tahu bagaimana ekspresikan sifat marahnya.


Kazama Levi



Umur & Jantina: 17, Perempuan

Posisi:
1. Ninja
2. Magus
3. Ahli Trinity Seven

Archive: Invidia

Thema: Expectatio (Jangka)

Magic: Shamanic Spell. Menyatukan sihir alam dengan Ninjutsu-nya.

Ninja dari Trinity Seven dan ahli sihir Invidia, adalah sahabat kedua Arata. Dia terkenal sebagai salah satu dari lima pahlawan terbaik dunia kerana dia pengguna Shamanic Spell. Levi dan Arata sentiasa bergurau senda apabila mereka bersama. Personaliti Levi adalah remaja yang yakin, tidak ragu-ragu, tenang hadapi situasi dan tidak menjangkakan apa-apa, bertentangan dengan Archive Invidia-nya.


Yamana Mira



Umur & Jantina: 16, Perempuan

Posisi:
1. Magus
2. Ketua Teratas Grimoire Security
3. Ahli Trinity Seven

Archive: Superbia

Thema: Justitia (Keadilan)

Magic: Gehenna Scope. Mampu menganalisis dan mematahkan sihir seseorang.

Selain menjadi ahli Trinity Seven, Mira adalah ketua teratas Grimoire Security, organisasi disiplin yang berusaha melenyapkan sumber yang berpunca dari fenomena paranormal. Perwatakan Mira selari dengan Archive-nya sebab sifat kepimpinannya yang tinggi. Walau bagaimanapun, tujuan sebenar Mira memilih Archive Superbia kerana ingin menutup sifat merendah dirinya atas potensi tingginya sebagai Magus terkuat. Pertemuan pertama dengan Arata adalah dengan melayannya sebagai musuh dan melabel Arata sebagai ‘lelaki tidak suci’. Sejak dari penyiasatan terhadap Liber Academy yang hilang, Mira mula menerima Arata dan menjadi sahabat yang dipercayai.


Fudo Akio



Umur & Jantina: 18, Perempuan

Posisi:
1. Spriggan (sebelum menjadi Magus)
2. Magus
3. Ketua Ketiga Grimoire Security
4. Ahli Trinity Seven

Archive: Gluttony

Thema: Fides (Keimanan)

Magic: Mantra Enchant, memberikan kuasa serangan fizikal yang super.

Ahli sihir wanita tertua dalam Trinity Seven dengan umur 18 tahun dan juga sentiasa bersama Mira dalam urusan Grimoire Security. Sebelumnya Akio adalah spriggan (paderi yang menjaga harta sulit) di kota yang dijaga oleh Sky Library. Semenjak serangan King Mage dari dunia lain, Abyss Trinity, ibunya hanya mampu lindungi Akio sehingga Akio menjadi satu-satunya mangsa terselamat. Dari peristiwa itulah, Thema-nya adalah Fides bagi menguatkan keyakinannya kembali. Perwatakan Akio adalah periang, senang bersahabat, sentiasa ceria dalam pelbagai situasi. Akio senang bersama Arata dan suka sikap Arata yang jujur terhadap sesuatu perkara walaupun hanya bergurau.


Kurata Yui



Umur & Jantina: 14, Perempuan

Posisi:
1. Magus kelas Cardinal
2. Ahli Trinity Seven

Archive: Avaritia

Thema: Amicitia (Persahabatan)

Magic: Arch Symphony, membolehkannya menambah kuasa sihir seseorang dan mencipta dunia mimpinya.

Ahli sihir istimewa yang tinggal di penjara bawah tanah academy selain ahli Trinity Seven. Pertama kali bertemu Arata adalah apabila Arata diselamatkan dari dibunuh Akio dengan teleportasikan ke dunia mimpi Yui. Yui membantu Arata memahami bagaimana sihir dihasilkan dengan memahami konsep Thema dan Archive. Kemudian, apabila Yui diselamatkan oleh Arata dan ahli Trinity Seven lain, Yui kembali hidup normal bersama sahabat baiknya, Levi dan menyukai Arata sebagai abang dan sahabat yang dipercayai. Yui dikenali sebagai magus kelas Cardinal, kedua terkuat selepas pengetua Biblia academy, magus kelas Paladin. Memandangkan Yui mengasingkan dirinya dari bersama orang lain, Thema-nya adalah Amicitia. Perwatakannya sesuai dengan umur mudanya. Periang, sikap kebudak-budakan dan senang meluahkan perasaannya.


Lieselotte Sherlock



Umur & Jantina: 16, Perempuan

Posisi:
1. Evil Magus
2. Ahli Trinity Seven
3. Ketua kedua Grimoire Security (sebelum menghilangkan diri)
4. Magus kelas King (sebelum dikalahkan oleh Arata)

Archive: Acedia

Thema: Stagna (Lembab)

Magic: Logos Art (ilmu nombor), sihir memanipulasi ruang dan masa dan membolehkannya merampas sihir seseorang.

Kakak kembar kepada Selina, wartawan academic yang menghilangkan diri 6 bulan lepas sebelum Arata pindah ke academic. Dia ialah ahli Trinity Seven terakhir Arata bertemu. Pada mulanya, Liese (Lieselotte) dilarang oleh ahli Trinity Seven lain kerana menceroboh ke perpustakaan terlarang, Eternal Library. Liese kemudian memperoleh elemen King Mage dari perpustakaan tersebut dan menjadi Magus kelas King. Setelah ditewaskan oleh Arata semasa serangan mengejut dari Liese, Arata berusaha menyelamatkan Liese dari terperangkap ke dimensi yang Liese cipta. Memandangkan Liese seorang yang terburu-buru, Thema-nya adalah Stagna. Perwatakaannya adalah gadis muda yang yakin, penggoda dan suka memainkan perasaan lelaki dengan tubuhnya.


PENGISIAN-PENGISIAN UTAMA

Ada dua pengisian penting dalam mendapat input dari anime/manga Trinity Seven, iaitu:

1. Falsafah Magic
2. Melawan Takdir Kitaran Hidup


Falsafah Magic

Dalam anime Episode 1, pernah Levi memberitahu Arata setelah Arata mengetahui kumpulan Trinity Seven cumalah sekumpulan ahli sihir wanita.

“Magic cumalah ilmu minda dan emosi. Wanita sangat sesuai untuk mempelajari ilmu ini.”

A. Teori Psikologi

Mengikut teori psikologi, magic adalah fenomena individu bertujuan untuk memenuhi kehendak individu itu sendiri tetapi magic dari penerangan kehendak seseorang itu tidak boleh dipandang ringan. Jadi, untuk memenuhi kehendak itu, penjelasan suatu perkara harus jelas bertujuan untuk mencapai kehendak individu.

Apa yang aku faham adalah, magic wujud disebabkan kuasa kehendak seseorang berdasarkan sebab kehendak itu diperlukan. Maka, kita memerlukan akal untuk mencari sebab apa kita mahukan sesuatu yang asalnya kehendak seseorang itu ‘dihidupkan’ oleh emosi kita (memandangkan kekuatan keinginan seseorang saling bergantungan dengan mengekspresikan emosi).

Senang faham, begini aliran magic diwujudkan mengikut teori psikologi (berdasarkan kefahaman aku):


PETUNJUK
*Emosi = Emosi membenarkan kehendak seseorang itu dipenuhi.
*Sebab = Akal memproses sebab kehendak diperlukan untuk mencapai magic.

Maka, kita boleh simpulkan bahawa kuatnya magic berdasarkan kuatnya sebab seseorang menghendak sesuatu selari dengan tingginya emosi membenarkannya.

Penerangan magic mengikut teori psikologi, kita telah faham sebab apa pengkarya manga menyampaikan bahawa magic adalah ilmu minda dan emosi seseorang, menepati teori psikologi.

B. Wanita, Emosi & Magic Mengikut Teori Psikologi

Mengapa wanita dikatakan sesuai mempelajari magic? Ada dua sebab utama mengapa wanita layak mempelajarinya:

1. Apabila berhadapan dengan situasi yang memerlukan penyelesaian, kedua-dua belah otak wanita bergerak serentak berbanding otak kiri lelaki saja bergerak. Otak kiri berfungsi sebagai pemecah masalah, mencari rasional dan logic manakala otak kanan berfungsi menghasilkan emosi, kreativiti dan presepsi wajah. Maka, lelaki cenderung menangani situasi melalui logika dan rasional dan wanita menangani situasi dengan memahami dan merasai situasi tersebut, kemudian menyelesaikannya dengan logik dan kreativiti. Sebab itulah mengapa wanita adalah individu berkesan dalam menangani masalah.

2. Sistem limbik adalah sistem saraf di otak yang berfungsi untuk mengurus perilaku, emosi dan memori. Disebabkan sistem limbik wanita lebih berkembang berbanding lelaki, wanita lebih baik dalam mengekspresikan emosi mereka dan senang meluahkan kelakuan emosi mereka.

Jika berkaitan dengan magic, kuatnya magic seseorang dipengaruhi betapa kuatnya emosi dan keinginan seseorang untuk mencapai atau memiliki sesuatu. Memandangkan wanita mampu mengekspresikan emosi lebih baik berbanding lelaki, maka wanita sesuai mempelajari magic. Dua perkara penting ini cukup memadai untuk memahami mengapa wanita layak mempelajari magic dalam dunia Trinity Seven.

C. Teori Sigmund Freud

Pernah aku terangkan tadi bagaimana seorang Magus itu melaksanakan magic. Setelah mengetahui proses bagi menghasilkan magic, ia bertentangan dengan apa yang kita mengetahui tentang magic, iaitu cuma membaca mantera sehingga selesai dan keluarlah kuasa paranormal yang melawan logik manusia, sesuai dengan keinginannya. Sebenarnya teori magic dihasilkan dengan proses merumitkan pernah Sigmund Freud, pengasas bidang psiko-analisis terangkan perihal magic.

“Teori magic hanya menjelaskan sepanjang proses bagi menghasilkan magic, tidak perlu menjelaskan essen/keinginan seseorang yang kemudian membawa salah faham bahawa undang-undang alam perlu dipindahkan kepada psikologi seseorang.”

Penjelasan Freud ini sebenarnya menentang teori James George Frazer, ahli antropologis Scottish yang mengkaji mitologi dan perbandingan agama, yang menyatakan magic adalah kuasa kawalan minda yang mempengaruhi alam sekeliling dengan berimaginasi untuk megawal sesuatu perkara melebihi batas pemikirannya.

Apa yang Freud jelaskan adalah magic memerlukan proses berterusan atau berpanjangan. Tidak perlu mengasah kekuatan minda dan keinginan, cuma perlu mengkaji sesuatu perkara yang boleh mengaktifkan magic. Maka, teori magic dari Sigmund Freud diterapkan dalam anime/manga Trinity Seven, di mana seorang Magus perlu melalui proses merumitkan bagi menghasilkan magic dengan mencari Thema melalui Archive yang menentang sifat asal Magus.


Melawan Takdir Kitaran Hidup


Arata & Trinity Seven vs Hijiri & Lugh (Iscariot)

Menariknya dalam penghujung anime Trinity Seven, Arata dan Hijiri bermusuh dan bertarung demi mencapai matlamat masing-masing. Sebenarnya Hijiri tidak dipengaruhi siapa-siapa yang mahukan Arata dibunuh. Sebaliknya Hijiri menyerahkan diri untuk menjadi ahli Iscariot untuk menghapuskan takdir yang menetapkan Arata sebagai King Mage tidak berperikemanusiaan dan seterusnya membina dunia baru untuk Arata. Arata yang mengetahui keadaan dan matlamat sebenar Hijiri, tidak pula berdendam kepada Hijiri. Malah Arata tetap bersemangat menyelamatkan Hijiri dari meneruskan matlamatnya.

Jika Hijiri menghapuskan dunia yang menetapkan takdir Arata sebagai method utama demi menyelamatkan sepupu kesayangannya, Arata pula mempunyai method sendiri bagaimana dia mengatasi takdir yang telah diukir untuknya. Arata setelah mengetahui takdirnya oleh Hijiri, Arata berusaha untuk melawan takdir tersebut dengan menghalang kuasa King Mage yang terpendam dari mengganas seterusnya memakan intipati kemanusiaan Arata. Dengan Thema Impel milik Arata, dia berusaha mengekang kuasa King Mage berleluasa disamping menjadi Magus terkuat bersama sahabat Trinity Seven.

Kesimpulan dari episode terakhir anime, Arata dan Hijir mempunyai musuh yang sama. Hijiri bukan musuh Arata. Arata pun bukan musuh Hijiri. Musuh sebenar adalah TAKDIR, yang mana King Mage seterusnya untuk menghapuskan dunia adalah Arata. Jadi mereka berdua berusaha mengubah takdir tersebut dengan method masing-masing. Inilah input terpenting sekali dalam anime/manga Trinity Seven.


Arata dalam bentuk King Mage memusnahkan dunia dari bayangan Hijiri.

Apa yang kita dapati dari episode terakhir ini adalah takdir kita yang telah ditetapkan sekian lama sejak kita mula bernafas di dunia ini boleh kita mengubahnya jika kita berusaha mengukir kehidupan yang kita nikmati sekarang ini. Sama ada berubah dari jahil kepada beriman, dari seorang yang bertanggungjawab kepada seorang yang menyusahkan orang, dari seorang yang beriman berusaha untuk lebih kuat beriman, perubahan diri kita membentuk kehidupan kita akan datang seterusnya merubah takdir yang sekian lama diukir.

Bagi penganut Islam (muslim), kebebasan manusia dalam perbuatannya, mampu mempengaruhi masa depan dan nasibnya serta mengubah takdirnya ada dicatat firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11:

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Jadi, Allah memberi ruang kepada manusia untuk melakukan perubahan dalam kehidupan mereka untuk menjadi manusia lebih baik menganut agama dari kehidupan jahil kepada kehidupan yang beramal baik sebelum Allah merubah kehidupan manusia itu.


Tidak kira penganut agama mana kita, takdir setiap manusia telah sekian lama dicatat dari mulanya kelahiran hingga kepada kematian. Manusia sentiasa melakukan perubahan demi perubahan, perbaiki setiap kesilapan yang berlaku berterusan kerana manusia mempunyai kebebasan merubah takdir. Maka, takdir manusia mampu dibentuk selagi masih bernafas di dunia ini sehingga tercapai matlamat hidup yang ingin dikecapi sebelum kematian menjemput. Apa yang Arata dan Hijir lakukan selari dengan kehidupan realiti manusia yang berusaha merubah takdir.

Sampai sinilah review panjang aku mengenai anime/manga Trinity Seven. Ada lagi anime/manga lain menyerupai anime/manga ini tetapi aku melihat Trinity Seven ada cita rasanya sendiri dari segi aliran plot penceritaannya, dari permulaan + konflik + klimaks hingga peleraian. Memang tidak membosankanlah anime/manga ini jika ditonton, tapi cuma penonton yang cukup umurlah untuk menikmati Trinity Seven ni. Hahak! Sekarang manga ni sangkut ke episode 55 dari bulan April dan novel bersiri pula baru Volume 2 (walaupun manga lagi awal dari novel bersiri tetapi novel bersiri masih update berbanding manga yang sekian lama 'jammed' sampai bulan Jun ini). Harap pengkarya dan illustrator tidak berputus asa menyiapkan Trinity Seven ini.

InsyaAllah, kalau cukup masa, buat entri kedua pasal anime/manga lagi.


RUJUKAN:

No comments:

Post a Comment